WARGA kota menonton pembentangan Bajet 2017, semalam.
WARGA kota menonton pembentangan Bajet 2017, semalam.
Badrila JamlusSyarifah Dayana Syed BakriSri Ayu Kartika AmriAfiq HanifHafiz Ithnin dan Sofyan Rizal Ishak dan Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Kerajaan yakin unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus bagi tahun ini dapat dicapai.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak berkata, berikutan munculnya beberapa cabaran, kerajaan mengambil langkah menyemak semula Bajet 2016 pada Januari lalu bagi membolehkan ekonomi negara kekal di landasan pertumbuhan mapan.

“Dengan langkah proaktif yang diambil, kegiatan ekonomi berkembang sehingga 4.1 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Ia didorong oleh kecergasan aktiviti domestik terutamanya pelaburan dan penggunaan swasta,” katanya dalam prakata Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, asas makro ekonomi negara terus mengukuh dengan ketara khususnya selepas pelaksanaan Dasar Transformasi Negara (DTN) sejak 2009.

“DTN berjaya merangsang pelaburan swasta dan mewujudkan peluang ekonomi baru selain menjana pertumbuhan ekonomi menggalakkan dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama,” katanya.

Menurutnya, permintaan domestik kini menjadi tunggak utama pertumbuhan, diterajui kecergasan aktiviti sektor swasta dengan sektor luar kekal sebagai komponen penting dalam ekonomi.

Najib berkata, dari sudut kewangan awam, kerajaan berjaya mengurangkan paras defisit berbanding KDNK daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.2 peratus pada 2015 dan dijangka berkurangan kepada 3.1 peratus pada tahun ini, malah kerajaan beriltizam mencapai bajet hampir berimbang menjelang 2020.

“Usaha dan kesungguhan kerajaan jelas diktiraf dengan pemberian penarafan gred pelaburan kelas A daripada Fitch, Moody’s dan Standard & Poor’s.

“Malaysia juga berada pada kelompok 20 teratas dalam Doing Business Report 2016 oleh Bank Dunia dan IMD Competitiveness Report 2016,” katanya.

Menurut Najib, pendapatan per kapita telah meningkat kepada RM36,078 pada 2015 berbanding RM34,839 pada 2014 selain kemiskinan tegar berjaya diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:07 AM