hmdigital

PUTRAJAYA: Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus berkembang namun pada kadar lebih sederhana dengan risiko berdepan penurunan.

Bagi tahun ini, Bank Dunia merendahkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus yang diunjurkan Januari lalu.

Ketua Ekonomi Bank Dunia, Dr Richard Record berkata, penurunan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.6 peratus tahun ini adalah menjejaki gambaran aktiviti pelaburan dan eksport yang lemah pada suku pertama 2019.

“Risiko potensi kepada pertumbuhan termasuk peningkatan ketegangan perdagangan, kelembapan dalam ekonomi utama serta turun naik pasaran kewangan dan komoditi.

“Selain itu, peningkatan dalam hutang swasta dan awam juga memberikan risiko kepada pertumbuhan,” katanya pada Pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) ke-20 - Memperkasakan Perkhidmatan Awam dan Pelancaran Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) di sini, semalam.

Beliau berkata, penggunaan swasta dijangka akan terus menyokong kepada permintaan domestik dengan pertumbuhan yang dijangkakan kepada 6.6 peratus, tahun ini.

“Ia berikutan pengembangan kukuh pada 2018, terutama pada tempoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar.

“Dalam sektor awam, rasionalisasi berterusan perbelanjaan kerajaan akan terus meningkatkan sumbangannya, dengan kadar pertumbuhan dijangka bertahan pada 1.8 peratus bagi tahun ini,” katanya.

Selain itu, Record berkata, pelaburan Malaysia dijangka kekal lemah untuk jangka pendek, dengan sektor awam dan swasta masih meneruskan sikap lebih berhati-hati.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, Malaysia masih berada di landasan untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

“Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia per kapita pada AS$10,460 pada 2018, AS$1,915 lebih rendah daripada paras yang ditetapkan Bank Dunia pada AS$12,375,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 7:57 AM