Sekatan jalan raya di Kilometer 7 Jalan Lumut-Sitiawan, pagi tadi. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Sekatan jalan raya di Kilometer 7 Jalan Lumut-Sitiawan, pagi tadi. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Dua termasuk pemandu lori yang memandu tanpa lesen ditahan dalam operasi bersepadu di Kilometer 7 Jalan Lumut-Sitiawan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, operasi yang diadakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Perak itu bermula jam 5 pagi dan menyasarkan pengguna yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Menurutnya, sebanyak 105 kenderaan diperiksa membabitkan 120 individu dan daripada itu sebanyak 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan Lesen kenderaan Motor(LKM) serta melanggar lampu isyarat.

"Kita berjaya menahan seorang pemandu lori yang mempunyai waran tangkap pada Mei lalu dan penahanan kali ini juga diatas kesalahan yang sama iaitu memandu tanpa lesen.

"Selain itu, kita turut menahan seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dipercayai syabu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 7:49 PM