LAKARAN kediaman Trion 888, Equine Park dijangkas yang dijangka siap pada 2017. FOTO Naza Corporation Holdings
LAKARAN kediaman Trion 888, Equine Park dijangkas yang dijangka siap pada 2017. FOTO Naza Corporation Holdings
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Naza Corporation Holdings (Naza) mengumumkan ganjaran tambahan, iaitu seunit kediaman berharga RM350,000 di Trion 888, Equine Park masing-masing kepada dua pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik, Rio Brazil iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Pengerusinya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, pemegang saham syarikat berbangga dengan pencapaian cemerlang dan luar biasa oleh dua atlet Paralimpik ini sekali gus mengambil keputusan memberikan ganjaran tambahan itu.

"Naza sentiasa komited terhadap pembangunan dan pencapaian sukan negara. Malah, pada tahun ini sahaja kami telah menaja pertandingan terbesar skuasy wanita peringkat antarabangsa, jadi ganjaran ini adalah sebahagian daripada usaha kami.

"Sebagai syarikat tempatan, kami akan terus memberi ganjaran kepada pemenang pingat emas temasya sukan berprestij ini dengan unit kediaman di Trion 888, Equine Park sebagai menghargai kejayaan diraih," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Trion 888 terletak di Equine Park, Sri Kembangan adalah projek hartanah yang dibangunkan oleh Naza TDDI Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza.

Unit kediaman jenis ‘suite’ berkenaan yang berkeluasan 41.81 meter persegi itu turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, bilik pelbagai guna, gimanasium, fasiliti dobi dan surau serta dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung 2017.

Terdahulu, Naza mengumumkan ganjaran kenderaan SUV terbaru, Kia Sportage masing-masing kepada dua pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik di Rio Brazil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 7:17 PM