CERIA Popstar tampil berbeza, Awie dan  Siti Nurhaliza sebagai juri tetap.
CERIA Popstar tampil berbeza, Awie dan Siti Nurhaliza sebagai juri tetap.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Program realiti pencarian bakat dalam kalangan kanak-kanak, Ceria Popstar kembali lagi untuk musim keempat. Masih menampilkan konsep sama yang mengetengahkan bakat nyanyian, musim ini Ceria Popstar tampil berbeza apabila menampilkan peserta duo daripada kesemua 12 pesertanya.

Lebih menarik lagi, Ceria Popstar musim ini menampilkan penyanyi popular, Awie dan Datuk Siti Nurhaliza sebagai juri tetap yang akan memberi kritikan pada setiap minggu.

Bagi Siti Nurhaliza, pembabitannya sebagai juri program ini untuk mendekatkan diri dengan kanak-kanak, sekali gus membantu mereka untuk menjadi penghibur.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi juri dalam program Ceria All Star yang juga program realiti mencungkil bakat kanak-kanak dalam pelbagai bidang. Untuk program ini, ia lebih kepada muzik dan nyanyian.

“Apa yang saya lihat, kanak-kanak ini memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian. Bagi menjalankan tanggung­jawab saya sebagai juri, saya akan menilai mereka mengikut kehebatan masing-masing,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan lebih tegas dalam memberikan komen terhadap peserta, Siti memiliki jawapan tersendiri.

“Kritikan tetap telus dan mengikut pencapaian persembahan mereka, tetapi komen yang akan diberikan tentunya sesuai dengan usia mereka,” katanya.

Bagi penyanyi dan pelakon Awie pula, dia bersandarkan pengalamannya selama 30 tahun dalam industri untuk membantu peserta Ceria Popstar meng­gapai cita-cita mereka menjadi penyanyi.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan generasi baru. Saya anggap mereka ini seperti anak sendiri.

“Insya-Allah, saya akan membantu mereka untuk kembangkan bakat dan memberikan kritikan membina sehingga mereka menjadi penyanyi hebat suatu hari nanti,” katanya.

Program Ceria Popstar musim keempat ini turut menampilkan tiga guru pembimbing untuk kesemua peserta, iaitu Mark Adam, Jaclyn Victor dan Black.

Selain itu, program ini juga meletakkan pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai penaung, manakala, Nabil Ahmad dan Wafiy daripada program Ceria Popstar musim kedua pula diberi kepercayaan untuk meng­galas tanggungjawab sebagai pengacara.

Penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja Astro, Hadzelynda Khairuddin memberitahu, Ceria Popstar bukan saja sekadar pertandingan nyanyian biasa, tetapi menjadi platform untuk kanak-kanak menambah ilmu dalam bidang nyanyian.

“Program ini secara tidak langsung menjadi platform buat peserta menambah ilmu pengetahuan dalam muzik dan berkongsi pengalaman dengan barisan tenaga pengajar.

“Selepas bersiaran selama tiga musim dan menempa kejayaan, kami percaya program ini berjaya mencapai misinya untuk melahirkan barisan pelapis dalam bidang muzik tanah air,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan juri tetap, Hadzelynda yakin dengan dua nama besar itu, akan menambah warna dalam program itu sekaligus mencungkil faktor X dalam diri barisan peserta.

Ceria Popstar musim keempat akan mula bersiaran pada 25 Mac ini, bermula jam 9 malam di Astro Ceria, saluran 611 dan Astro Maya HD di saluran 135.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 12:01 PM