DR NURHAYA tekad mahu berikan ilmu kepada semua golongan mengenai penyusuan susu ibu.
DR NURHAYA tekad mahu berikan ilmu kepada semua golongan mengenai penyusuan susu ibu.
DR NURHAYA Yacob bersama anak keduanya, Amirul Luqman Ashraf yang berusia tiga bulan.
DR NURHAYA Yacob bersama anak keduanya, Amirul Luqman Ashraf yang berusia tiga bulan.
Siti Nadirah Hafidzin


Wajah ayu, personaliti lembut dan bersifat keibuan malah setiap kali berbicara terserlah aura positif yang tertanam dalam dirinya menjadikan wanita berstatus ibu kepada dua cahaya mata ini amat mudah didampingi sesiapa saja.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga pakar perunding laktasi bertauliah dan doktor perubatan ini jika dilihat dari segi luarannya tampak sama seperti wanita lain namun hakikatnya, dia mempunyai impian besar yang ingin digapai.

Memasang impian untuk membantu semua ibu bapa terutama keluarga muda supaya lebih mendalami dan memahami ilmu penyusuan badan secara eksklusif, wanita ini perlu tekad dan tidak menoleh ke belakang.

Pemilik nama Dr Nurhaya Yacob, 32, yang kini mengusahakan Dr Nurhaya Lactation Centre di Perai, Pulau Pinang, memilih bidang itu kerana berasakan terdapat keperluan dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakannya.

“Saya memilih untuk mengusahakan sendiri pusat laktasi ini bagi membantu bakal ibu juga bapa memahami dan menjalani proses penyusuan dengan lebih baik sehingga si ibu berjaya menyusukan bayi mereka secara eksklusif selama enam bulan. Ini berterusan sehingga dua tahun bersama makanan pelengkap, sesuai dengan polisi penyusuan ibu kebangsaan.

“Selain menjalankan bimbingan di pusat laktasi, saya juga rancak menggunakan laman sosial sebagai medan untuk menyebarkan maklumat berguna supaya lebih ramai pasangan ibu bapa memperoleh manfaat berguna ini,” katanya.

Dr Nurhaya juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sampingan termasuk urutan kepada bayi dan kanak-kanak yang dipercayai mampu membantu menangani pelbagai masalah.

“Impian saya hanya satu iaitu menjadikan pusat ini sebagai pusat sehenti untuk golongan ibu mendapatkan perkhidmatan penyusuan sama ada dari aspek ilmu mahupun peralatan yang berkaitan penyusuan susu ibu.

“Saya juga berusaha memastikan golongan sekeliling iaitu suami, ibu bapa, rakan, majikan dan ahli keluarga untuk turut memberikan sokongan supaya susu ibu dapat diberikan kepada semua bayi,” ujarnya.

Suka duka tersendiri

Dalam merealisasikan impiannya itu, pelbagai selok-belok dan suka duka ditempuhinya.

Wanita ini pernah berdepan saat menyedihkan tatkala suami tercinta terbabit dalam kemalangan jalan raya dan pada masa sama, dia perlu bertarung nyawa melahirkan cahaya mata kedua kira-kira tiga bulan lalu.

“Itu antara saat paling menduga apabila menerima berita sedih dan waktu itu juga merasai sakit bersalin namun saya tahu saya perlu kuat untuk keluarga.

“Syukur, kini segalanya berjalan dengan baik dan suami juga semakin pulih dan kedua-dua anak saya membesar dengan sihat dan cergas di samping kerjaya saya,” ujarnya.

Katanya, dia amat bersyukur kerana dianugerahkan suami, Dr Ashraf Md Razi yang amat memahami sekali gus memberi sokongan kepadanya.

“Dari segi pembahagian masa, hakikatnya ia agak sukar kerana tuntutan kerja saya sering memakan masa yang lama namun sedaya upaya berusaha membahagikan masa sebaik mungkin terutama kini kedua-dua anak masih kecil dan memerlukan perhatian penuh.

“Alhamdulillah, saya memiliki keluarga yang amat menyokong dalam bidang ini. Walaupun pada awalnya suami agak kurang yakin dengan kerjaya yang saya pilih ini, kini dia antara individu paling utama memberi idea dan semangat selain ibu serta ayah tersayang yang selalu berada di sisi saya dalam apa juga keadaan,” katanya.

Dr Nurhaya berkata, kekuatannya dalam bidang diusahakan juga didorong ibunya yang berjaya menyusukan keempat-empat anak selama dua tahun walaupun pada waktu itu ilmu penyusuan masih kurang didedahkan termasuk peralatan juga tidak lengkap seperti kini.

Beri kesedaran tanpa paksaan

Dia juga akui antara cabaran terhebat apabila berhadapan dengan ibu yang terlalu obses untuk meningkatkan pengeluran susu secara berlebihan sedangkan asas penyusuan yang paling utama sering diabaikan.

“Saya juga sering berpesan supaya sentiasa bersyukur dengan susu yang dihasilkan dan janganlah mengharapkan jumlah terlalu berlebihan,” katanya.

Tidak ketinggalan apabila kecaman hebat dan cemuhan yang sering menjadi juadah harian terutama apabila ilmu disalurkan tidak sesuai dengan apa diinginkan dianggap antara dugaan terbesarnya dalam menyampaikan ilmu.

“Saya sedaya upaya terus gigih memberi kefahaman dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT untuk memberi kesedaran kepada ibu atau bapa terbabit.

“Bagi saya perkara ini perlu berlaku secara semula jadi dan tanpa paksaan namun saya tidak akan berhenti dan terus berusaha menyampaikan ilmu kepada setiap individu,” ujarnya.

Dr Nurhaya berkata, dia memasang matlamat supaya usaha yang dilakukan tidak sia-sia.

“Saya mengimpikan untuk melihat peratusan ibu yang memberikan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan akan meningkat 75 peratus daripada tahun ini.

“Pada masa sama, kesedaran semua golongan termasuk individu sekeliling dalam memastikan penyusuan ibu dapat diberikan kepada si kecil tersayang juga perlu diberikan perhatian khusus dalam usaha ini,” katanya.

Kata Dr Nurhaya, dia juga berazam menambah keyakinan kepada setiap wanita yang menyusukan bayi itu bahawa mereka wanita hebat yang mampu menyerlahkan kecantikan luaran dan dalaman secara semula jadi melalui aura positif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:48 PM