DUTERTE (kanan) bergambar dengan aktor Hollywood, Steven Seagal yang melawat Istana Malacanang di Manila kelmarin. - Reuters
DUTERTE (kanan) bergambar dengan aktor Hollywood, Steven Seagal yang melawat Istana Malacanang di Manila kelmarin. - Reuters
AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran dia bersedia menubuhkan ‘kerajaan revolusi’ bagi menangkis usaha untuk menyingkirkannya.

Dia mengeluarkan amaran itu dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin sambil mengecam media, anggota parlimen Eropah dan pengkritik kempen antidadah yang menyebabkan ribuan suspek terbunuh.

Duterte berkata, dia mungkin memilih satu kerajaan revolusi berbanding undang-undang darurat yang memerlukan kelulusan kongres sekiranya komunis dan pembangkang lain cuba menumbangkan pemerintahannya.

“Sekiranya berlaku ketidakstabilan dan kekacauan yang berpunca daripada anda, saya tidak teragak-agak mengisytiharkan kerajaan revolusi hingga penggal saya berakhir.

“Saya akan menahan anda semua dan kita boleh melancarkan perang besar-besaran terhadap kumpulan merah,” katanya yang merujuk kepada pemberontak komunis.

Duterte juga menuduh Agensi Perisikan Pusat, Amerika Syarikat (CIA) terbabit dalam plot untuk menumbangkannya dan memberi amaran dia akan memenjarakan semua penentang dan pemimpin komunis.

“Saya akan isytiharkan kerajaan revolusi dan anda semua akan ditangkap. Saya bukan mahu takutkan rakyat tetapi ingat semua itu,” tegasnya.

Duterte merujuk kepada pemerintahan bekas Presiden Corazon Aquino yang menubuhkan kerajaan revolusi tidak lama selepas mengetuai kebangkitan rakyat pada 1986 yang menumbangkan diktator Ferdinand Marcos.

Corazon memecat semua pegawai yang dilantik, membubarkan Kongres dan perlembagaan.

Dia kemudiannya memastikan perlembagaan baru dikuatkuasakan dan berundur selepas pilihan raya pada 1992.

Corazon disanjung rakyat Filipina yang menganggap wanita itu sebagai heroin demokrasi.

Bagi menghalang pemerintahan diktator berulang semula, perlembagaan baru itu mengehadkan pemerintahan Presiden Filipina kepada satu penggal selama enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 5:48 AM