FOTO Hafiz Sohaimi
FOTO Hafiz Sohaimi
Mohd Fadly Samsudin dan Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Perhimpunan #TangkapMO1, hari ini, berlangsung dalam keadaan terkawal.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, dalam satu kenyataan, berkata tiada sebarang penahanan dilakukan.

Katanya, perhimpunan itu berlangsung dalam tiga jam setengah dan bermula kira-kira 2 petang.

Selain itu, polis turut mengesahkan kira-kira 2,000 peserta menyertai perhimpunan #tangkapMO1 yang diadakan berhampiran kawasan Dataran Merdeka.

Menurutnya, semasa perhimpunan dijalankan beberapa individu memberi ucapan menjurus kepada desakan supaya MO1 ditangkap.

"Perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran kerana tidak mengikut peruntukan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Siasatan ke atas penganjuran perhimpunan itu akan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 124B Kanun Keseksaan (aktiviti memudaratkan, demokrasi berparlimen) dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan(kenyataan yang mendatangkan khianat awam)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata keseluruhan perjalanan perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Mengkut tinjauan, peserta perhimpunan dilihat mula berkumpul pada 2.30 petang.

Mereka berkumpul di dua lokasi iaitu di Masjid Negara dan pusat beli-belah Sogo sebelum bergerak ke kawasan Dataran Merdeka.

Peserta perhimpunan mula bersurai pada 4.45 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 9:47 PM