Norizuan Shamsuddin dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Peserta Perhimpunan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkumpul hanya tiga jam di depan Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Semua peserta perhimpunan berkenaan bersurai pada 5.30 petang.

Sebelum itu, mereka yang rata-rata berpakaian hitam dan kuning tidak dibenarkan memasuki Dataran Merdeka berikutan perhimpunan gagal mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Anggota dan pegawai polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan berkawal di kawasan itu bagi mengawal keadaan dan keselamatan awam.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamed bersama isteri, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut hadir.

Peserta berhimpun dan melaungkan tuntutan supaya membebaskan Anwar Ibrahim, memansuhkan GST dan meminta supaya Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Perhimpunan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya.

Tinjauan mendapati ada antara peserta membawa anak masing-masing menyertai perhimpunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata polis akan meneliti segala aspek berlaku pada Perhimpunan Bantah GST yang dilakukan tanpa permit.

"Perhimpunan dalam keadaan terkawal dan dianggarkan jumlah peserta yang hadir adalah bawah dua ribu.

“Kami akan meneliti segala aspek perhimpunan dan polis akan ambil tindakan terhadap mana-mana aspek yang melanggar undang-undang.

"Tiada laporan diterima polis walaupun perhimpunan diadakan tanpa permit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 6:25 PM