KEADAAN sekitar Dataran Merdeka menjelang perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD yang bakal berlangsung, esok. Foto HAFIZ SOHAIMI
KEADAAN sekitar Dataran Merdeka menjelang perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD yang bakal berlangsung, esok. Foto HAFIZ SOHAIMI
Fazrik Kamarudin


“JANGAN lakukan sebarang provokasi, elakkan ucapan berbaur hasutan dan berhimpun dengan aman.”

Begitu kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menjelang perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), esok.

Mazlan berkata, bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar, pihaknya akan mengadakan kawalan keselamatan, trafik dan peserta perhimpunan diminta mematuhi arahan polis.

“Peserta perhimpunan diingatkan jangan mencetuskan sebarang provokasi termasuk terhadap anggota polis, tidak membawa senjata berbahaya dan kanak-kanak, serta perlu mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas.

“Kita mahukan perhimpunan yang aman, jangan timbulkan sebarang kekacauan dan perkara tidak diingini.

“Kepada yang ingin berucap, jaga pertuturan, jangan sesekali menerbitkan ketegangan menerusi ucapan berbaur hasutan dan mengguris hati,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan provokasi, mencetuskan kekecohan, mengganggu-gugat ketenteraman awam dan melanggar undang-undang.

“Kita beri kebenaran berhimpun, kita hormati kebebasan bersuara tetapi harus diingat kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi, kita ada Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Selain itu, peserta juga dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam, dan meletakkan kenderaan di luar kawasan tempat berkumpul bagi mengelakkan kesesakan.

“Orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama dengan tidak menularkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran ICERD, Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah Aminuddin Yahaya memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 7:27 PM