WALAUPUN sudah enam tahun berlalu, kenangan di Makkah masih segar dalam ingatan Norman.
WALAUPUN sudah enam tahun berlalu, kenangan di Makkah masih segar dalam ingatan Norman.

Setiap kali tiba musim haji, Norman Ali, 56, akan terkenang pengalaman mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada 2010.

Walaupun sudah enam tahun berlalu, pelbagai peristiwa dialami sepanjang mengerjakan ibadah itu meninggalkan kesan mendalam sehingga kini.

Bukan berniat membuka aib sendiri, jauh sekali untuk riyak, Norman berkata, dia mahu berkongsi pengalamannya untuk dijadikan iktibar dan pedoman kepada orang lain.

“Saya menerima tawaran mengerjakan haji dengan perasaan berbelah bahagi - antara gembira dan takut. Memang saya sangat berharap terpilih ke Tanah Suci pada tahun itu.

“Malah, pada malam sebelum jemputan itu diterima, saya berdoa agar niat untuk menunaikan haji dimakbulkan. Saya berdoa: ‘Ya Allah, pilihlah aku sebagai tetamu-Mu di Tanah Suci Makkah kerana aku ingin bertaubat di bumi suci itu’.

“Tidak disangka Allah menunaikan permintaan saya kerana selama ini saya berasa Dia tidak akan ‘memandang’ saya pun berikutan pelbagai dosa yang telah saya lakukan.

“Tapi, kegembiraan itu tidak lama. Ia kemudian bertukar menjadi takut. Saya terfikirkan, adakah Allah menunggu saya di bumi suci itu untuk memberi pembalasan terhadap apa yang sudah saya lakukan sebelum ini?

“Saya akui kehidupan sebelum ini sangat menyimpang daripada agama. Bukan sahaja tidak menjalankan perintah Allah, malah bergelumang dengan pelbagai kemaksiatan yang boleh dikategorikan sebagai dosa besar.

“Perasaan takut yang amat sangat itu menghantui saya apabila mendengar dan membaca pelbagai versi peristiwa yang pernah dialami jemaah lain. Ada orang cerita kalau kita banyak dosa, kita tak akan nampak Kaabah.

“Ada juga yang kata Allah akan tayang semula semua perbuatan jahat kita di depan Kaabah. Kita juga akan menerima pelbagai seksaan di sana akibat perbuatan jahat sebelum ini,” katanya.

Norman berkata, bayangan dosa dan balasan Allah yang silih berganti bermain di fikirannya menyebabkan dia menangis siang dan malam.

Disebabkan tidak tahan dikejar bayang-bayang sendiri, dia mendapatkan nasihat Imam Masjid Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur ketika itu, Zainon Mad Ahir.

“Zainon meyakinkan saya bahawa sebagai tetamu-Nya, Allah tidak akan mengaibkan saya kerana Dia tidak pernah berniat buruk terhadap hamba-Nya.

“Mendengar kata-katanya, saya sangat lega seolah-olah orang sakit diberi ubat yang sangat mujarab. Tetapi, tiba hari untuk berangkat, debaran kembali kencang. Ketakutan balasan Allah yang bakal menanti di Makkah kembali bermain di fikiran.

“Namun, sebaik menjejakkan kaki ke bumi Madinah, saya kembali tenang dan dapat melakukan ibadat di Masjid Nabawi,” katanya.

Begitupun, pada hari keempat di Madinah, Norman mengalami pendarahan hidung yang teruk. Makin dikesat, makin banyak darah keluar. Ketika itu terlintas di fikiran, adakah ini permulaan ‘hukuman’ Allah ke atas dirinya?

Norman menadah tangan dan berdoa: “Ya Allah, andainya ini balasan-Mu ke atas aku kerana pernah melakukan maksiat, aku bertaubat dan Kau ampunkanlah aku.”

Sebaik habis berdoa, darah mula berhenti mengalir. Norman tidak dapat menahan sedih dan menangis kerana Allah mengabulkan permintaannya.

Keesokannya, Norman menerima satu lagi ujian. Kali ini, ia agak pelik dan membingungkan. Ketika sedang solat, tak semena-mena tubuh dan mukanya dihurung ratusan ekor lalat.

“Selesai solat, saya menoleh ke arah jemaah lain di sebelah. Aneh, tiada seekor lalatpun di muka dan tubuh mereka. Memang, sejak berada di Madinah, saya tidak pernah lihat walau seekor lalat pun, apatah lagi di dalam Masjid Nabawi.

“Saya berdoa: ‘Ya Allah, andai ini balasan atas dosa-dosaku memberi makan isteri dan anak-anakku dengan hasil haram, aku bertaubat dan Kau ampunkanlah aku.’

“Selesai berdoa, lalat itu sedikit demi sedikit meninggalkan saya. Sekali lagi saya terpana. Saya menangis dan berkali-kali mengucap syukur,” katanya.

Norman menyangka ujian ke atas dirinya sudah berakhir, rupa-rupanya ada lagi yang datang. Di Makkah, ketika berjalan pulang ke hotel selepas selesai mengerjakan tawaf dan saie, dia terdengar suara berbisik ke telinga menyatakan tawafnya tidak cukup tujuh pusingan.

Pulang ke bilik, dia bertanyakan rakan sebiliknya, Azahari mengenai bisikan itu. Azhari menjawab jika yakin sudah menggenapkan tujuh pusingan, dia tak perlu ragu lagi.

Bagaimanapun, ketika pulang daripada menunaikan solat Subuh keesokan harinya, suara ghaib itu datang lagi. Walaupun cuba untuk tidak mempedulikannya, ia makin kerap terngiang-ngiang di telinga.

Selepas mendapatkan pandangan pegawai Tabung Haji, dia disaran melakukan tawaf ganti sebanyak satu pusingan dan membayar dam.

“Namun, suara ghaib itu terus mengganggu saya. Ketika sedang mengerjakan solat Maghrib, ada suara membisikkan saya tersalah niat iaitu berniat solat Asar. Gangguan ini benar-benar memberi tekanan sehingga saya tak dapat tidur.

“Azahari beritahu saya itu bisikan syaitan yang cuba mengganggu ibadah saya. Dia menasihati saya tidak mempedulikan suara itu dan teruskan ibadah. Saya menurut nasihat itu dan selepas itu tiada lagi bisikan misteri.

“Bagaimanapun, sehari sebelum wukuf, saya tiba-tiba rebah tidak bermaya sehingga terpaksa diusung ke hospital. Dalam perjalanan ke hospital itu, saya berdoa: ‘Ya Allah, aku ke sini sebagai tetamu-Mu, kalau Kau terima aku maka sembuhkanlah, kalau Kau tidak menerima aku, maka matikanlah aku di sini.’

“Sebaik tiba di hospital, tiba-tiba saya pulih seolah-olah tiada apa yang berlaku. Alhamdulillah, selepas itu saya dapat mengerjakan ibadah haji tanpa sebarang masalah.

“Saya pulang ke Malaysia dengan penuh kesyukuran. Sepanjang di Tanah Suci, saya menyerahkan diri dan seluruh jiwa raga saya kepada Allah. Saya bertaubat di sana dan berharap Allah mengampunkan semua dosa saya,” kata Norman. - Rodly Fadly

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:23 AM