NORMAN  dan Memey bersama dua cahaya mata mereka.
NORMAN dan Memey bersama dua cahaya mata mereka.
Oleh Nor Akmar Samudin


Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dengan Memey Suhaiza, sudah menjadi tradisi setiap kali tibanya Aidilfitri, Norman Hakim membawa keluarganya pulang beraya di kampungnya di Kuantan, Pahang.

Dan, pada hari raya kedua dan ketiga semalam barulah mereka beraya dengan keluarga isteri di Felda Tenggaroh, Johor.

Tiada bantahan daripada Memey kerana pada hari raya pertama ibu bapanya akan menziarahi keluarga sekitar Johor dan pada raya kedua barulah mereka ada di rumah.

Jelas Memey, soal balik kampung siapa dulu tidak membawa kepada pertelagahan asalkan mereka sekeluarga dapat beraya bersama-sama.

“Kami tiba di kampung saya semalam dan beraya seminggu di Felda Tenggaroh. Itu amalan kami sejak dulu.

“Apa yang penting, saya dapat bercuti lama di rumah ibu dan ayah bagi melepaskan rindu. Raya ke berapa kami dapat berjumpa tidak jadi masalah,” katanya.

Norman berkata, dia turut membawa tiga anaknya hasil perkahwinan dengan bekas isteri Abby Abadi menyambut Aidilfitri di Kuantan.

“Kelmarin kami pulang ke Kuala Lumpur dan berkumpul di rumah keluarga Abby di Keramat.

“Saya dan Abby berkawan baik. Walaupun sudah berpisah, ibu bapanya tetap ibu bapa saya juga,” katanya.

Menerusi perkahwinannya dengan Memey pada 2011, pasangan romantik itu dikurniakan dua anak iaitu Mohamed Darwisz Hakim, 3, dan Muhammad Dikhriz Hakim berusia tiga bulan.

Memey suka berniaga

Bercerita mengenai perkembangan terbaru, Norman dan Memey akan membuka butik pakaian Muslimah iaitu Butik Meylana di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Selepas bergelar ibu, Memey mengurangkan aktiviti lakonan dan mengusahakan perniagaan pakaian Muslimah menerusi ‘online’.

Apabila perniagaan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, dia bersama kakak angkatnya bakal melancarkan butik fizikal dalam waktu terdekat.

“Pekerjaan yang tidak memerlukan saya berenggang dengan anak ialah bekerja sendiri. Butik ini tidak jauh dari rumah, senang untuk berulang-alik.

“Tawaran berlakon masih ada dan akan saya pertimbangkan jika ia telefilem kerana masa bekerja tidak panjang. Itu pun jika penggambaran dilakukan sekitar Kuala Lumpur.

“Ketika Darwisz lahir masih boleh bawa ke lokasi, tetapi apabila adanya Dikhriz, agak sukar jika mahu bawa mereka. Bimbang mengganggu kelancaran di set penggambaran pula nanti,” katanya.

Norman jaga badan dan pemakanan

Norman yang kini memiliki susuk tubuh tegap masih aktif berlakon dan dalam masa yang sama kerap menghabiskan masa di gimnasium yang kini menjadi hobinya.

“Walaupun setiap hari ke gimnasium, pemakanan tetap kena jaga apabila saya dan Memey makan nasi beras perang tidak berkanji. Tidak boleh berharap kepada senaman semata-mata untuk memiliki tubuh tegap.

“Rutin hidup juga berubah apabila saya menyeimbangkan kehidupan dunia dan akhirat. Sekuat mana pun berusaha, kita mesti mendapatkan keizinan dan restu Allah SWT untuk berjaya.

Norman berkata, kini setiap hari sebelum keluar rumah dia menjadikan amalan mengerjakan solat sunat Dhuha sebagai satu kemestian.

“Rezeki yang berkat datang daripada-Nya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 10:03 AM