Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Shills Beauty Sdn Bhd dan Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) akan menganjurkan acara jalan kaki dan larian, 'Pink Love Charity Run' di Taman Tasik Titiwangsa, 23 November ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan menyokong perjua-ngan pesakit dalam menentang kanser payudara.

Program yang dijangka bakal disertai 1,000 individu itu juga bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat di samping menyokong acara kesihatan dunia sepanjang Oktober dan November iaitu Minggu Kesedaran Kanser Payu Dara, Minggu Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Diabetes Sedunia.

Pengarah Eksekutif Shills Beauty Sdn Bhd Lee Joyce berkata, 'Pink Love Charity Run' adalah larian untuk menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan orang ramai dan memupuk semangat keprihatinan masyarakat.

Menurutnya, larian amal sejauh lima kilometer itu diadakan bermula jam 7.30 pagi dan semua keuntungan yang diperoleh daripada acara mengumpul dana ini akan disumbangkan sepenuhnya kepada BCWA.

"Yuran pendaftaran bagi setiap peserta adalah RM40 dan mereka akan diberikan pek larian. Kami memulakan kerjasama dengan BCWA sejak tahun lalu dengan tajaan produk dan sumbangan tunai.

"Tahun ini, kami mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan interaktif untuk menggalakkan cara hidup sihat di samping memupuk sikap prihatin dalam masyarakat.

"Untuk menjadikan acara ini lebih menarik dan me-nyeronokkan, semua peserta larian akan berjalan atau berlari secara berpasangan iaitu sama ada dengan suami, isteri, ahli keluarga atau rakan.

"Setiap peserta akan diikat dengan pasangan masing-masing menggunakan reben merah jambu dan kedua-dua peserta mesti sampai ke garisan penamat dengan keadaan reben masih terikat," katanya.

Katanya, ikatan reben itu membawa maksud iaitu setiap individu atau pesakit perlu mempunyai seorang teman di sisi yang dapat memberi galakan, sokongan dan bantuan sepanjang melayari perjalanan hidup.

"Ikatan reben ini tidak membenarkan peserta berjalan atau berlari dengan terlalu perlahan atau pantas kerana kedua-duanya perlu prihatin dengan keupayaan satu sama lain dan saling membantu sepanjang perjalanan.

"Ini bermakna peserta mesti sensitif kepada keperluan orang lain dan saling menyokong satu sama lain," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.shills.com.my atau www.facebook.com/shills.my atau hubungi (03) 8062 2743/46.

Mereka yang berminat untuk menyertai larian ini boleh hubungi 03-80620743/6 atau layari laman web www.myraceonline.com untuk mendapatkan maklumat mengenai pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:00 AM