LARIAN untuk memberi kesedaran mengenai kanser payudara.
LARIAN untuk memberi kesedaran mengenai kanser payudara.
Nurul Husna Mahmud


SERAMPANG dua mata apabila peserta Larian Pink Run 2023 anjuran Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor apabila bukan sahaja berpeluang menyertai aktiviti larian bersama rakan sekerja, malah dapat menambah ilmu berkaitan kanser payudara.

Menurut peserta, Nur Sabrina Mohd Rasid, 25, kanser payudara adalah sesuatu yang menakutkan bagi wanita, namun masih ramai yang tidak dapat mengenal gejalanya.

"Kanser payudara adalah penyakit paling ditakuti wanita di Malaysia, tetapi tidak ramai mahu ke hadapan apabila menemui gejalanya.

"Pendekatan menerusi acara larian itu mungkin boleh 'menyentuh' semua peringkat usia dari pelajar sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi, kakitangan awam dan swasta serta penduduk setempat untuk mengetahui mengenainya," katanya.

Dalam acara larian itu turut diselit pengisian oleh Pakar Perunding Pembedahan Payu Dara dan Endokrin, Dr Suraya Othman yang berkongsi mengenai kanser payudara dan rawatan awal yang boleh dijalankan kepada pesakit kanser payudara.

"Secara tidak langsung orang ramai lebih berani menghadapi sesuatu penyakit apabila mendapat sokongan masyarakat lebih cakna mengenai kanser payudara," kata Nur Sabrina.

Menerusi program terbabit hampir 400 peserta menyertai larian kempen itu sejauh lima kilometer di Anggun City Rawang.

Acara larian julung kali dianjurkan hospital pakar terbabit turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Rawang, Ahmad Rafiquddin Mohd Amran, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Gombak Naresh Kumar, Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Gombak dan pengurusan kanan hospital.

Kata Ahmad Rafiquddin, pihaknya mahu terus menyebarkan kesedaran kepada komuniti.

"Acara larian ini dianjurkan sempena Bulan Kesedaran Kanser Payu Dara (Pink October) dan Sambutan Hari Sukan Negara 2023 bagi mewujudkan kesedaran kepada komuniti mengenai kanser payudara dengan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko kanser.

"Pembabitan semua peserta dalam aktiviti ini dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan merapatkan ukhuwah bersama warga KPJ Rawang dan penduduk berdekatan dalam aktiviti riadah," katanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya pertandingan mewarna, kaunter saringan kesihatan oleh KPJ Rawang, senamrobik, persembahan 'clown' dan sesi cabutan nombor bertuah yang diserikan dengan kehadiran personaliti radio Kool 101, Haiza dan Muaz selaku pengacara pada acara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 6:55 AM