Ryan Gosling
Ryan Gosling
Agensi

Los Angeles: Pelakon Ryan Gosling, 43, cukup terkilan apabila bintang utama filem Barbie iaitu Margot Robbie serta pengarahnya Greta Gerwig tidak dicalonkan dalam Anugerah Academy ke-96 atau Oscar 2024.

Gosling yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menyifatkan dua nama itulah sebenarnya yang menjadi nadi penting menghidupkan naskhah terbabit.

"Saya sangat berbesar hati dicalonkan rakan sekerja saya sebaris artis luar biasa untuk tahun yang dibanjiri filem hebat. Dan saya tak pernah terfikir akan katakan ini, tapi saya juga sangat berbesar hati dan bangga kerana ia (pencalonan) disebabkan lakonan menerusi seorang patung plastik bernama Ken.

"Namun takkan ada Ken tanpa Barbie, dan tiada filem Barbie tanpa Greta Gerwig dan Margot Robbie. Dua orang ini paling terpenting mencipta sejarah untuk filem yang diraikan seluruh dunia. Takkan wujud pengiktirafan buat semua dalam filem itu tanpa bakat mereka. Berani dan genius.

"Untuk mengatakan saya kecewa mereka tidak tercalon dalam kategori masing-masing adalah terlalu ringan," katanya.

Menurut Gosling, Robbie dan Gerwig patut dicalonkan dalam pengiktirafan itu selepas mencurah segalanya sehingga Barbie menjadi fenomena katanya: "Melawan arus tanpa berbekalkan apa-apa selain penjiwaan. Mereka berjaya buat kita ketawa, hancurkan hati kita, mengangkat budaya itu dan melakar sejarah.

"Hasil kerja mereka seharusnya diiktiraf sebaris dengan calon-calon lain yang sangat layak," katanya.

Dalam pada itu, Gosling bagaimanapun tumpang gembira rakan pelakonnya dalam Barbie itu America Ferrera turut mendapat pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Barbie mendapat lapan pencalonan pada Oscar 2024 iaitu kategori Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Adaptasi Lakon Layar Terbaik, dua untuk Lagu Original Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, dan Rekaan Kostum Terbaik.

Acara itu bakal berlangsung di Dolby Theatre pada Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 11:44 AM