Kuantan: Tiga pemandu kereta berdepan detik cemas selepas treler yang diekori mereka mengundur secara tiba-tiba ketika melalui laluan berbukit, di Jalan Bukit Goh, berhampiran Jambatan Sungai Mabok, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, treler berkenaan merempuh tiga kenderaan dipandu mangsa sebelum melintang di tengah jalan dan menghalang laluan di kedua-dua arah sekali gus mengakibatkan kesesakan selama sejam.

Pegawai Turus Trafik negeri Deputi Superintendan Ahmad Nadzri Zainal Abidin berkata, treler yang dipandu Mohd Sahlan Burhanudin, 24, dalam perjalanan dari Bukit Sagu ke Pasir Gudang, Johor.

Beliau berkata, sebaik tiba di laluan mendaki di kawasan kejadian, treler itu berhenti seketika apabila kenderaan di hadapannya memasuki simpang.

Katanya, apabila pemandu mahu meneruskan perjalanan, treler itu mengalami masalah teknikal menyebabkan ia mengundur dan merempuh tiga kenderaan yang mengekorinya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:09 AM