Keadaan Toyota Unser milik Chin (gambar kecil) yang terbabas dan terbalik di Kilometer 18, Jalan Mendamit, Limbang. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan Toyota Unser milik Chin (gambar kecil) yang terbabas dan terbalik di Kilometer 18, Jalan Mendamit, Limbang. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI warga emas maut apabila kereta Toyota Unser dipandunya bergesel dengan sebuah kereta lalu terbalik lalu di Kilometer 18, Jalan Mendamit, Limbang, semalam.

Kemalangan 3 petang itu menyebabkan Chin Siaw Sheh, 85, maut di lokasi kejadian selepas parah pada kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa datang dari arah pusat bandar dan cuba memotong kereta lain.

Menurutnya, ketika memotong, mangsa tidak menyedari kereta Toyota Vios datang dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak lalu bergesel.

“Geselan itu menyebabkan Toyota Unser dipandu mangsa terbalik ke bahu jalan, manakala Toyota Vios dipandu wanita warga Brunei berusia 53 tahun terbabas.

“Bagaimanapun, kejadian itu hanya menyebabkan kecederaan ringan pada pemandu dan penumpang Toyota Vios berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Alexson berkata, pasukan perubatan dari Hospital Limbang mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Limbang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Polis sudah merekodkan keterangan dari pemandu Toyota Vios dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 3:37 PM