ADA ibu bapa yang malu berdepan dengan masyarakat apabila mendapat tahu anak mereka dilahirkan dengan klef.
ADA ibu bapa yang malu berdepan dengan masyarakat apabila mendapat tahu anak mereka dilahirkan dengan klef.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DIANGGARKAN kelahiran bayi dengan masalah klef (sumbing) di negara ini adalah satu di dalam setiap 1,000 kelahiran.

Klef ialah anomali rekahan pada bahagian muka, bibir dengan atau tanpa rekahan di lelangit dan gusi.

Selain dari penampilan, klef memberi impak kepada penyusuan bayi, pertuturan, pergigian, pendengaran dan beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh pakar perubatan.

Menurut Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Universiti Islam Antarabangsa Dr Khairul Bariah Chi Adam, klef sebelum ini mencetuskan stigma dalam kalangan masyarakat.

Ada ibu bapa malu berdepan masyarakat apabila mendapat tahu anak mereka dilahirkan sebagai klef.

Malah, kata Dr Khairul Bariah, ramai pesakit klef tidak mendapat rawatan kerana ibu bapa berpendapat ia pemberian Tuhan yang harus diterima dan tidak boleh diubah.

"Ada juga tidak tahu di mana untuk mendapatkan rawatan komprehensif untuk pesakit klef.

"Kini, persepsi itu sudah banyak berubah berikutan perubahan zaman dan peningkatan kesedaran mengenai klef," katanya.

Jelas Dr Khairul Bariah lagi, klef juga diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai satu terminologi bagi menerangkan mengenai abnormaliti di bahagian muka dan atau mulut akibat dari kegagalan untuk struktur bercantum ketika di dalam kandungan.

Ia juga mendorong ramai ibu bapa dan pesakit klef untuk tampil mendapatkan nasihat serta rawatan.

DIANGGARKAN kelahiran bayi dengan masalah klef di negara ini adalah satu di dalam setiap 1,000 kelahiran.
DIANGGARKAN kelahiran bayi dengan masalah klef di negara ini adalah satu di dalam setiap 1,000 kelahiran.

"Dahulu, kurangnya pakar dan pasukan untuk merawat klef, tetapi kini sudah wujud beberapa pusat perubatan yang mempunyai kepakaran dan pasukan klef.

"Contohnya di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa, SASMEC@IIUM di Kuantan, Pahang," katanya.

Menurut Dr Khairul Bariah lagi, pasukan perubatan klef beserta dengan sokongan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Cleft Lip and Palate Association Malaysia (CLAPAM), banyak membantu dalam memberi pendidikan dan kesedaran, selain rawatan untuk pesakit klef.

Ini kerana, rawatan menyeluruh terdiri daripada pakar bedah maksilofasial, pakar pergigian kanak kanak, pakar perubatan kanak kanak, pertuturan dan beberapa lagi kepakaran memainkan peranan penting bagi memastikan rawatan diberikan secara holistik kepada pesakit.

"Dalam memberi rawatan dan sokongan multidisplinari yang komprehensif, kami berharap semoga pesakit klef tidak lagi dipandang sebagai stigma dan mampu tersenyum seperti orang lain," katanya.

Sementara itu, bagi meraikan Bulan Kesedaran Klef dan mendidik masyarakat mengenainya dan rawatan berkaitan, Unit Pergigian dan Pembedahan Maksilofasial, SASMEC@IIUM bersama rakan kolaborasi CLAPAM, akan mengadakan Karnival Kesedaran Klef dengan tema Senyuman Untuk Semua.

Karnival penuh informatif itu akan diadakan 30 September ini dan terbuka untuk semua.

Antara aktiviti yang akan diadakan adalah forum bertajuk Cerita Di Sebalik Senyuman, aktiviti riadah bersama kanak-kanak dan pameran mengenai kesedaran klef dari pelbagai bidang kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 7:00 AM