Datuk Seri Ahmad Said
Datuk Seri Ahmad Said
Helmy Abd Rahman


Kuala Terengganu: Bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dipanggil semula menyertai Ahli Mesyuarat Kerajaan Terengganu, kali ini dipertanggungjawabkan memegang portfolio sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dilantik menjadi timbalan kepada Datuk Mohd Jidin Shafee (ADUN Permaisuri) yang ketika ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Menurut Pejabat Menteri Besar menerusi satu kenyataan hari ini, sebanyak tujuh perubahan portfolio dilakukan membabitkan ahli jawatankuasa kerajaan negeri.

Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri akan diambil alih Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman, manakala ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad yang kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri.

Pertukaran lain ialah Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri yang disandang A Latiff Awang (ADUN Pengkalan Berangan) yang ditukarkan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri; Roslee Daud (Adun Bukit Besi) daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan negeri kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri; Ghazali Taib (ADUN Ajil) daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri serta Muhammad Pehimi Yusof (ADUN Jertih) daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 4:20 PM