HAJIJI Noor. FOTO Arkib NSTP
HAJIJI Noor. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan kecil yang membabitkan pertukaran Pembantu Menteri dalam kerajaannya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, pertukaran itu susulan pengosongan portfolio Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri apabila penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan kerajaan negeri, pertengahan bulan ini.

Tempat Wetrom akan digantikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, manakala jawatan Nizam akan diisi oleh Datuk Julita Majungki yang sebelum ini adalah Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Fairuz Renddan sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.

Berikutan lantikan itu, jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri

akan diisi oleh Adun Kukusan, Rina Jainal.

Hajiji berkata, pelantikan Fairuz mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan majlis angkat sumpah akan ditetapkan Istana Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 3:37 PM