Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kerajaan negeri mengumumkan pemangkuan tugas dan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor kepada Datuk Md Jais Sarday.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyusunan semula Pengerusi Jawatankuasa itu bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri.

"Portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Md Jais diletakkan di bawah seliaan Datuk Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.

"Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamed turut diamanahkan portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Pengalihan dan perubahan ketiga-tiga jawatan itu berkuat kuasa Ahad ini serta menjadi tambahan kepada portfolio semasa yang dipegang oleh dua exco berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, penyusunan semula jawatan itu sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Penyusunan ini bagi satu tempoh sehingga selesainya proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes membabitkan ahli keluarga dan pegawai khas Datuk Abd Latif Bandi yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 6:50 PM