BEKAS tukang masak, Ahmad Izwan Mohd Yatim, 30, yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun diiringi polis. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
BEKAS tukang masak, Ahmad Izwan Mohd Yatim, 30, yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun diiringi polis. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang bekas tukang masak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh seorang warga Bangladesh tanpa niat, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Izwan Mohamad Yatim, 30, yang didakwa mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh terhadap Emdadul Islam di hadapan sebuah rumah di No 186, Jalan Pinang 1, Taman Kota Kulai dekat Kulai, antara 1 hingga 1.30 petang, 9 Julai 2014.

Tertuduh yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang menawarkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan yang mana tindakan tertuduh memecah masuk asrama warga asing itu membawa kepada pergelutan sehingga tertuduh menyebabkan kecederaan yang membawa kematian mangsa.

"Walaupun tindakan tertuduh hanya untuk mempertahankan diri, namun sekiranya dia tidak memasuki rumah terbabit secara salah, maka tidaklah berlaku sebarang pergaduhan.

"Tawaran pertuduhan pilihan juga sebagai peluang kedua kepada tertuduh dan diharap apabila selesai hukuman, tertuduh akan menjadi orang berguna kepada masyarakat, keluarga dan negara," katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Norafiah Saini, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 12:00 PM