R Ravi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati mengedar 6,851 gram kanabis, tahun lalu. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
R Ravi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati mengedar 6,851 gram kanabis, tahun lalu. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG operator kilang terdiam dan kelihatan sugul sebaik Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati mengedar 6,851 gram kanabis, tahun lalu.

Tertuduh, R Ravi, 26, yang bekerja di Singapura dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal menyangkal andaian pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, keterangan pihak pembelaan termasuk tertuduh sendiri ketika prosiding membela diri bersifat penafian semata-mata.

Beliau berkata, keterangan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui kehadiran beg kertas berwarna putih yang disyaki berisi dadah itu tidak selari dengan keterangan saksi pendakwaan iaitu anggota polis trafik yang bertindak menahan lelaki bujang itu ketika kejadian kerana dilihat melakukan kesalahan trafik.

"Tertuduh dikatakan memandu kereta BMW milik abang iparnya dan diminta mengambil kakak iparnya yang menaiki bas tiba lebih awal dari Kuantan, Pahang di Terminal Bas Larkin di sini.

"Tertuduh didapati memandu di lorong yang salah sebelum ditahan anggota polis trafik yang kemudian memintanya menunjukkan kad pengenalan dan lesen.

"Menerusi keterangan saksi pendakwaan itu, tertuduh gagal mengemukakan kad pengenalan dan lesen, namun hanya menunjukkan pasport antarabangsanya.

"Bagaimanapun, tertuduh mula gelisah apabila polis ingin menyamannya dan seperti menyembunyikan sesuatu membuatkan anggota polis terbabit mencurigainya dan mahu memeriksa kenderaan itu.

"Tertuduh dikatakan menghalang anggota polis membuka pintu belakang kereta dan apabila polis menjumpai beg kertas berkenaan yang disyaki mengandungi dadah di dalam kereta itu, tertuduh mula mendesak dan memujuk anggota polis berkenaan menyelesaikan perkara itu dengan cara baik," katanya.

Mohd Sofian melihat keterangan saksi pendakwaan itu boleh diguna pakai mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950, malah kakak ipar tertuduh yang juga saksi pembelaan juga gagal mengemukakan bukti bahawa dia ada menaiki bas pada waktu kejadian ketika tertuduh diminta mengambilnya di terminal bas.

Malah, keterangan tertuduh yang mendakwa kereta itu diakses oleh ramai ahli keluarga sebelum kejadian itu juga disangkal dengan keterangan pegawai penyiasat kes bahawa pemilik kereta iaitu abang ipar tertuduh tidak tahu menahu tentang beg kertas berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ravi didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Jalan Tebrau menghala Johor Bahru, kira-kira 7.10 malam, 27 Januari 2016.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini mengemukakan empat orang saksi sepanjang prosiding perbicaraan, manakala tertuduh diwakili peguam R Subash.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:53 PM