Rosly diiringi anggota polis. FOTO Zain Ahmed
Rosly diiringi anggota polis. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Bekas pengawal keselamatan yang didakwa menikam pegawai bank HSBC di Taman Molek, pada April tahun lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada tuduhan membunuh.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan tertuduh, Rosly Mohd Ismail, 45, adalah pesakit Skizofrenia atau tidak waras.

Beliau kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Tampoi di sini, untuk menjalani pengawasan psikatri bermula hari ini, sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi yang disokong dengan pakar psikatri yang mengesahkan tertuduh tidak waras.

“Mahkamah mengakui kejadian bunuh itu berlaku dan pihak pendakwaan juga sudah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Namun, kes ini unik apabila kita menggunapakai Seksyen 84 Kanun Keseksaan bahawa tidak menjadi kesalahan oleh seseorang pada masa melakukannya itu akalnya tidak sempurna.

"Mahkamah berpuas hati dengan keterangan pakar psikatri yang mengesahkan tertuduh tidak waras," katanya.

Pada 28 April 2015, Rosly didakwa membunuh pegawai bank, Ho Chin Tau di tingkat satu, bangunan HSBC, Jalan Molek 1/10, Taman Molek di sini, pada jam 3.40 petang, 17 April tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut dilepas dan dibebaskan dengan tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap R Vasantha Devi, 54, pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini mengemukakan 17 saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan.

Rosly yang diwakili peguam, Iskandar Shah Ibrahim diarah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Prosiding pembelaan memanggil empat saksi termasuk tertuduh dan seorang pakar psikatri.

Pada 18 April 2015, Harian Metro melaporkan seorang pegawai bank HSBC maut dipercayai ditikam dalam satu kejadian amuk di bank berkenaan.

Dalam kejadian itu, mangsa, Ho, 33 (ketika kejadian) ditemui terbaring dalam ruang pejabat bank berkenaan dengan kesan cedera pada muka dan leher dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam iaitu pisau.

Suspek yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan bank itu ditahan pada hari yang sama sejurus kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 3:07 PM