SEBANYAK 46 jenis herba digunakan untuk membuat minyak.
SEBANYAK 46 jenis herba digunakan untuk membuat minyak.

Tidak semua cara lama kolot dan ketinggalan zaman serta yang moden itu terbaik. Kadangkala kaedah tradisional masih relevan dan lebih baik hasilnya berbanding moden.

Berpegang pada prinsip itu, Zalina Mohd Esa, 51, masih mengekalkan amalan memproses mi­nyak urut ‘cara kampung’ kerana percaya kaedah itu lebih menjamin keasliannya.

Walaupun mengakui kaedah moden mampu melonjakkan pengeluaran, Zalina atau mesra dipanggil Che Na kekal meneruskan cara tradisi daripada proses awal sehingga terhasilnya minyak.

Ketika pengusaha lain menggunakan peralatan moden untuk memproses minyak, Che Na masih berbekalkan sebilah pisau atau gunting untuk memotong 46 jenis ramuan herba serta kuali untuk memasaknya.

“Saya memang sedar jika mahu komersial serta meluaskan pasaran minyak urut yang saya hasilkan, penggunaan teknologi moden cara terbaik. Tapi, saya tak sanggup mengejar keuntungan sehingga mengabaikan keaslian minyak urut saya.

“Biarlah saya dianggap kolot atau ketinggalan zaman tapi saya masih percaya penghasilan mi­nyak urut secara turun-temurun nenek moyang kita lebih asli, berkualiti dan berkhasiat.

“Sebenarnya generasi hari ini tidak tahu minyak urut yang dihasilkan orang dahulu bukannya minyak urut ‘kosong’ tapi ‘berisi’. Dalam setiap proses yang mereka lakukan sehingga terhasil minyak, mulut mereka tidak lekang mengungkap Bismillah, berselawat, berzikir serta membaca surah lazim seperti al-Fatihah dan tiga Qul.

“Selain itu cara menghasilkannya juga berbeza kerana ia dimasak dalam kuali dan di atas api sederhana. Oleh itu, ia tidak masak secara mengejut seperti dihasilkan melalui proses moden yang menggunakan tenaga elektrik.

“Memasak secara tradisional membolehkan semua adunan herba ‘bergaul’ lebih sebati dan menghasilkan minyak urut asli. Selalunya saya mengambil masa dua jam untuk memasak sehingga menghasilkan minyak.

“Saya tak berniat mempertikaikan cara moden, itu terpulang kepada keyakinan masing-masing. Tapi, saya lebih percayakan cara lama berdasarkan pengalaman sendiri. Saya pernah cuba memasak menggunakan elektrik tapi kualitinya tidak sama dengan minyak dimasak secara tradisional.

“Oleh itu, walaupun bercadang mengkomersil­kan minyak urut saya dan meluaskan pasaran, saya akan tetap mengekalkan kaedah sama, cuma mung­kin daripada menggunakan hanya satu kuali untuk memasak saya perlu menggunakan lebih ba­nyak kuali atau saiz lebih besar,” kata Che Na.

Menceritakan proses penghasilan minyak urut keluarannya, Che Na meng­gabungkan 46 jenis herba, antaranya cekur, halia, serai wangi, serai, bunga kantan, cengkih, manjakani, pandan, bawang putih, lada hitam, daun bidara, daun pudina, daun salam, lengkuas, kunyit, jerangau dan limau purut untuk menghasilkan Minyak 46 Herba.

“Semua herba ini saya cari di dalam hutan berdekatan atau dibeli daripada kawan-kawan. Ada juga yang saya tanam sendiri di sekitar rumah.

“Ia kemudian diracik halus-halus sebelum direbus hingga menghasilkan minyak. Sama seperti nenek moyang kita dulu, saya mengamalkan bacaan ayat suci sepanjang proses menghasilkan minyak ini,” katanya.

Che Na yang mewarisi kepakaran mengurut daripada keluarga berkata, idea menghasilkan minyak urut itu secara komersial datang selepas beberapa eksperimen dilakukan ke atas pelanggan yang mendapatkan khidmat urutnya.

“Ketika bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital, saya pernah ditempatkan di bahagian bedah. Ketika itu saya baru cuba menghasilkan minyak urut. Atas keizinan pesakit, saya mencuba minyak saya ke atas mereka. Alhamdulillah, luka mereka cepat sembuh.

“Apabila saya berhenti kerja kira-kira 10 tahun lalu kerana masalah kesihatan, saya kerap mengambil upah mengurut orang. Sambil itu saya cuba menguji keberkesanan minyak urut ini dan ter­nyata berkesan.

“Selain digunakan untuk mengurut wanita selepas bersalin, minyak ini juga boleh digunakan untuk merawat sengal sendi dan tulang, gout, masalah kulit, luka dan sebagainya,” katanya.

Selain Minyak 46 Herba, Che Na juga menghasilkan minyak lintah dan minyak habatus sauda serta teh berasaskan herba. - Rodly Fadly

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:34 PM