KASMALIA meneliti tanaman dedaun herba.
KASMALIA meneliti tanaman dedaun herba.
CAMPURAN pelbagai jenis daun herba untuk diproses menjadi minyak urut.
CAMPURAN pelbagai jenis daun herba untuk diproses menjadi minyak urut.
PRODUK keluaran Teratak Kasha Impian termasuk minyak urut, sabun kopi dan sabun bidara di Kuala Pahang.
PRODUK keluaran Teratak Kasha Impian termasuk minyak urut, sabun kopi dan sabun bidara di Kuala Pahang.
 KASMALIA memilih 14 jenis daun herba sebagai persediaan untuk berserum.
KASMALIA memilih 14 jenis daun herba sebagai persediaan untuk berserum.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Semuanya bermula secara tidak sengaja selepas suaminya diserang angin ahmar. Tiada apa yang bermain di fikiran selain mencari jalan menyembuhkan penyakit menyerang suaminya itu.

Kasmalia Khalid, 45, berkata dia sedaya upaya berusaha memulihkan suami, Hakimi Abdul Rahman, 50, yang mengalami strok bahagian kanan badan secara tiba-tiba, 4 Februari tahun lalu.

“Saya ceritakan masalah kepada ibu (Fatimah Mohd, 75) yang meminta menggunakan mandian herba daun serum dan minyak bidara dibuat sendiri.

“Alhamdulillah selepas tiga minggu, dia kembali sihat dan boleh berjalan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya, Teratak Kasha Impian di Taman Mawar, Kuala Pahang, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Bermula dari situ, Kasmalia mula mendalami ilmu perubatan herba dan urutan refleksologi daripada ibunya yang juga seorang bidan serta tukang urut tradisional.

“Sebaik suami diserang strok, saya terus belajar mengurut, memilih dan menyediakan dedaunan herba mandian serum serta membuat minyak berasaskan daun bidara.

“Saya bersyukur berjaya merawat suami melalui teknik urutan dan mandi serum selain berserah dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Kasmalia berkata, dalam al-Quran ada menyebut pohon bidara antara beberapa tumbuhan yang terdapat di syurga.

“Namun, masih ramai dalam kalangan umat Islam sendiri yang tidak mengetahui khasiat daun bidara,” katanya.

Menurutnya, pohon bidara tumbuh dalam syurga seperti firman Allah SWT bermaksud:

“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya), naungan yang terbentang luas, air yang tercurah dan buah-buahan yang banyak,” (Surah al-Waqi’ah: 27-32)

Ibu kepada tujuh anak berusia antara enam hingga 21 tahun itu berkata, daun bidara mempunyai gelombang getaran cukup kuat untuk menghindari gangguan jin dan syaitan serta sesuai untuk kegunaan kulit semua lapisan umur.

“Daun bidara mampu meresap ke setiap liang roma apabila disapu terus ke kulit, mengurangkan bau badan, menyahtoksik peluh dan minyak yang berada di lapisan atas kulit,” katanya.

Kasmalia berkata, setiap hari dia memulakan kerja di bengkel di depan rumahnya bermula jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam sementara waktu pagi digunakan bagi memetik daun herba untuk dikeringkan.

Di tepi bengkelnya, Kasmalia menyediakan kawasan dikhususkan untuk tanaman lebih 30 jenis pokok herba seperti pokok ajaib, kemuning, sundal malam, bidara, kunyit, lengkuas, cekur, serai wangi, jarum tujuh bilah, pecah batu, kapal terbang, halia bara dan orkid sundal malam.

Wanita berasal dari Kuala Pahang itu turut dibantu abangnya, Ramalan, 50, yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perubatan berasaskan pokok herba.

“Abang juga tukang urut dan pernah berkursus mengenai perubatan herba dan urutan tradisional di institusi perubatan berkaitan herba di Thailand,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan berserum dan refleksologi di bengkelnya.

Kasmalia berkata, dia menyediakan dua jenis daun serum iaitu basah (sejuk beku) dan kering dengan fungsi utamanya membantu membetulkan bahagian dalaman badan.

Menurutnya, daun serum seberat 200 gram dijual pada harga RM10 sepaket daripada 14 jenis daun herba terpilih termasuk daun bidara, kantan, mengkudu, serai wangi, pandan, lengkuas, gunni, pahit, akar serai wangi, halba dan ketumbar.

“Daun berkenaan direbus kira-kira 20 minit sebelum digunakan sama ada untuk merendam kaki atau mandi dengan tujuan membongkar urat saraf dan melegakan tubuh yang lemah, membuang angin serta membetulkan ketegangan sendi, urat saraf dan sengal tulang.

“Selepas rendaman kaki kira-kira 30 minit, saya melakukan urutan refleksologi bagi membantu melancarkan pengaliran darah, meningkatkan daya tahan diri, menyeimbangkan kedudukan badan, menguatkan otot kaki, mengurangkan risiko kencing tidak lawas, menguatkan tulang dan pinggul, mengurangkan risiko sakit sendi dan mengurangkan masalah pada bahagian peranakan bagi wanita,” katanya.

Kasmalia berkata, tapak kaki juga perlu diurut ketika seseorang pening, badan kurang sihat, tapak kaki bengkak, kebas dan gatal serta kerap sembelit.

“Sebenarnya, kita boleh mengesan penyakit melalui kaedah refleksologi dan ramai yang tidak mengambil berat mengenai perkara ini,” katanya yang turut menerima tempahan produk dari pusat rawatan kecantikan dan spa di Kemaman, Terengganu; Kuala Lumpur, Sarawak serta Johor.

Katanya, mereka yang berminat boleh berserum sendiri di rumah sama ada untuk rendaman kaki atau mandi.

Bagi proses membuat minyak pula, Kasmalia menggunakan campuran santan daripada kelapa mawar dan pandan, rempah ratus, akar kayu dan daun herba terpilih dengan bahan asas utama daun bidara diiringi doa dan zikir selama enam jam.

Kasmalia berkata, minyak dihasilkan ialah minyak bidara, urut serba guna, tembaga suasa, rambut, gamat dewa, dan minyak kelapa dara dijual pada harga antara RM10 hingga RM30 setiap 10 mililiter (ml) untuk pelbagai kegunaan.

“Permintaan semakin tinggi kerana orang ramai sudah mulai mengetahui khasiat dan kebaikan daun bidara sehinggakan tidak menang tangan dibuatnya.

“Saya bersama anak mencari pokok bidara di hutan dan pantai bagi menampung tempahan pelanggan sama ada untuk mandian atau minyak.

“Produk keluaran syarikat saya tiada bahan awet atau bahan kimia kerana disediakan menggunakan bahan organik dan herba sepenuhnya, secara tidak langsung ia tidak mendatangkan mudarat kepada pengguna,” katanya yang turut menghasilkan sabun bidara dan sabun kopi dalam bentuk ketulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 11:48 AM