KANAK-kanak kini terdedah dengan pelbagai gajet yang lengkap dengan Internet.
KANAK-kanak kini terdedah dengan pelbagai gajet yang lengkap dengan Internet.
Oleh Mohamad Nizam Kassim

Suatu ketika dulu, penggunaan gajet seperti komputer hanya membabitkan golongan dewasa, namun dalam zaman serba moden ini, kanak-kanak turut menjadi pengguna teknologi terutama Internet.

Namun, ibu bapa harus mengambil berat mengenai kandungan yang mereka terokai bagi memastikan ia bukan sesuatu yang boleh mempengaruhi anak-anak ke arah melakukan perkara negatif.

Terdapat lima strategi yang boleh diguna pakai ibu bapa dalam mengawal aktiviti online yang dilakukan anak-anak.

Langkah pelaksanaan pertama adalah memahami istilah kawalan siber oleh ibu bapa atau cyberparenting yang merujuk kepada penguasaan literasi digital, namun dalam masa sama masih kekal dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa selaras dengan dunia dan budaya digital.

Antara strategi yang boleh dilaksanakan adalah melalui gaya pemikiran yang betul, menerokai penggunaan teknologi dan meningkatkan tahap kesedaran.

Strategi pertama memberi tumpuan kepada gaya keibubapaan dalam budaya digital di mana mereka perlu mengenal pasti jenis ibu bapa yang boleh dipertimbangkan sama ada keibubapaan literasi atau celik digital dan kewarganegaraan digital.

Apabila gaya keibubapaan sudah dikenal pasti, strategi kedua membabitkan tumpuan kepada penyertaan dalam literasi digital. Ia bertujuan mengetengahkan penggunaan positif teknologi dan penggunaan Internet sebagai alat pendidikan, alat produktiviti dan platform sosial yang berguna untuk anak-anak.

Bagaimanapun, strategi ketiga memerlukan tumpuan diberi kepada sisi gelap penggunaan Internet. Ia termasuk kelemahan yang boleh dimanipulasi penjenayah siber, kebimbangan privasi, psikologi dan kesan tingkah laku, kesihatan dan kesejahteraan serta kebimbangan terhadap kandungan yang tidak sesuai.

Namun, ancaman sumpama itu adalah terkawal jika ibu bapa mengambil berat punca ancaman ini. Ia tidak memadai hanya dengan memiliki literasi digital, sebaliknya ibu bapa perlu mengambil berat dan sentiasa aktif membabitkan diri mereka dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dalam teknologi dan penggunaan Internet.

Strategi pelaksanaan kedua membabitkan penggunaan penyelesaian yang sesuai. Ia membabitkan dua strategi berbeza iaitu pastikan keselamatan teknologi dan pengguna teknologi.

Melalui keselamatan teknologi, ibu bapa perlu memberi tumpuan kepada keselamatan teknologi berkaitan iaitu peranti pengguna akhir (komputer, tablet, telefon pintar), sistem operasi program komputer yang menjalankan peranti pengguna akhir, perisian aplikasi (program komputer yang menyediakan tugasan khas kepada pengguna akhir), perkhidmatan Internet (rangkaian sosial, e-mel, simpanan dalam talian) dan data pengguna.

Mujurlah, perimeter ini boleh didapatkan melalui penyelesaian berasaskan teknologi seperti pengurusan kata laluan dan perisian antivirus.

Strategi seterusnya adalah memastikan keselamatan pengguna teknologi. Walaupun perimeter keselamatan teknologi berkaitan telah dilaksanakan, pengguna akhir masih berpotensi terdedah kepada manipulasi oleh penjenayah siber yang berniat jahat dan eksploitasi komersial sama ada aktiviti buli siber, pedophilia dan pengintip siber.

Pelan pelaksanaan ketiga membabitkan mewujudkan hubungan baik antara ibu bapa dan anak-anak. Komunikasi berkesan antara dua pihak dapat menghasilkan persekitaran teknologi yang selamat.

Hubungan akan menjadi lebih erat sekiranya ibu bapa mengambil berat mengenai tingkah laku yang sesuai dan bertanggungjawab dalam penggunaan Internet dan teknologi.

Penganalisa Kanan Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:13 AM