BAHAGI masa sebaik mungkin kepada keluarga dan anak.
BAHAGI masa sebaik mungkin kepada keluarga dan anak.

Sering pulang lewat malam, berpeleseran di pusat beli-belah sehinggakan ada yang langsung tidak pulang ke rumah walaupun pada usia masih belasan tahun dan bersekolah.

Senario itu kini dilihat bukan asing jika dibandingkan 10 hingga 15 tahun lalu apabila remaja lebih banyak menghabiskan masa di rumah atau mengikut ibu bapa ke mana saja ketika hujung minggu.

Lebih membimbangkan apabila ramai remaja kini yang terdedah dengan pelbagai pengaruh luar menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang amat terbuka.

Kesibukan ibu bapa yang terikat dengan tuntutan tugas di pejabat mengeruhkan lagi keadaan menyebabkan remaja kini semakin sukar dikawal.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai masa mencukupi dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

Menurut Ko, faktor kesibukan dalam menguruskan anak di samping tuntutan tugas di pejabat menjadikan kebanyakan ibu bapa sering mengabaikan diri sendiri serta individu di sekelilingnya.

“Anak memerlukan pendekatan berbeza mengikut peringkat usianya terutama ketika mereka meningkat dewasa. Waktu remaja antara waktu yang paling mencabar dan disebabkan itu remaja memerlukan pendamping yang sesuai,” katanya.

Katanya, sifat keterbukaan dalam mendidik anak bukan sesuatu yang salah namun ia boleh mengakibatkan pelbagai impak negatif sekiranya dilakukan dengan kaedah yang salah.

“Jadi rakan terbaik, dengar segala rungutan dan masalah emosi anak bagi memastikan mereka cenderung memilih ibu bapa sebagai rakan baik berbanding individu lain.

“Bukan itu saja, ibu bapa perlu mengawal penggunaan Internet yang semakin berleluasa kerana ia antara medium yang memberi pengaruh besar dalam hidup mereka,” katanya.

Layanan bukan tekanan

Pada usia remaja, kebanyakan mereka mudah tertekan tanpa sebab kukuh menyebabkan golongan itu mudah memberontak.

Ko berkata, jangan sesekali melayan anak remaja dengan cara layanan seperti kebudak-budakan kerana ia memberi kesan kepada emosi dan pemikiran mereka.

“Jadi rakan paling karib kepada anak sehingga mereka sanggup berkongsi segala suka dan duka kehidupan mereka. Ini seterusnya memudahkan usaha membimbing anak remaja itu kerana mereka lebih mempercayai ibu bapa berbanding individu lain,” katanya.

Menurut Ko, langkah terpenting bagi ibu bapa apabila pulang ke rumah, ketepikan gajet elektronik dan rakan sosial maya.

“Jangan leka melayan rakan maya hingga anak ketandusan perhatian dan kasih sayang. Pastikan juga waktu makan dan bersama anak tidak diganggu telefon bimbit.

“Semua perkara ini penting bagi mengukuhkan emosi anak, tidak kira usia mereka kerana semua anak memerlukan perhatian serta kasih sayang daripada ibu bapa,” katanya.

Langkah untuk mendekatkan diri dengan anak remaja:

- Jangan marah tanpa sebab kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.

- Dengar dan terima pandangan yang diutarakannya.

- Ajak berbual mengenai isu semasa juga masalah peribadinya.

- Luangkan masa keluar bersama seperti menonton wayang atau beriadah ketika masa terluang.

- Kerap menasihati, tetapi bukan dengan cara memarahi.

- Cari kegemaran mereka dan tidak salah jika berikan hadiah. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 5:46 AM