ZII Jia mara ke suku akhir Terbuka Thailand. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia mara ke suku akhir Terbuka Thailand. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menempah slot suku akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin di Stadium Nimibutr, sebentar tadi.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan keenam mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-7 dalam aksi selama 36 minit.

Kemenangan itu menyaksikan rekod Zii Jia ke atas Hyeok Jin terus di depan apabila mendahului 3-0 selepas menang dua kali sebelum ini di separuh akhir Piala Sudirman tahun lalu dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia masih lagi mencari rentak konsisten dengan berharap mampu menyesuaikan diri keadaan angin di gelanggang berkenaan.

"Set pertama agak sukar, namun pada set kedua saya kelihatan sedikit tenang dan mengikut perancangan permainan saya. Saya gembira dengan kemenangan ini.

"Saya rasa masih lagi mencari rentak untuk mempamerkan permainan terbaik, dengan berharap dalam lima kejohanan selepas ini mampu meraihnya," kata juara Terbuka Thailand 2022 itu.

Menanti Zii Jia di suku akhir esok ialah pemain China, Lu Guang Zu yang terpaksa bermandi peluh sebelum mengalahkan Koki Watanabe dari Jepun 21-11, 18-21, 19-21.

Sementara itu seorang lagi perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang mencatat pukulan smash paling kencang di Piala Thomas 2024 di Chengdu, baru-baru ini dengan kelajuan 482.0 kilometer sejam (km/j), terkandas selepas kalah di tangan wakil tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn.

Jun Hao terpaksa akur dengan pilihan keempat itu apabila tumpas 22-20, 14-21, 13-21 dalam aksi selama satu jam 32 minit.

Turut ditunjukkan jalan keluar ialah beregu campuran, Yap Roy King-Valeree Siow yang tunduk di tangan sensasi Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-11, 21-16.

Satu lagi pasangan campuran negara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee tumpas di tangan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 15-2, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 4:39 PM