ANGGOTA keluarga Gulsen Bahadir, antara mangsa yang terbunuh dalam serangan semalam, meratap di sisi kerandanya sebelum jenazahnya dikebumikan.
ANGGOTA keluarga Gulsen Bahadir, antara mangsa yang terbunuh dalam serangan semalam, meratap di sisi kerandanya sebelum jenazahnya dikebumikan.
ANGGOTA pasukan kecemasan membantu mangsa yang cedera dalam kejadian berkenaan.
ANGGOTA pasukan kecemasan membantu mangsa yang cedera dalam kejadian berkenaan.
Agensi

Istanbul: Penyerang berani mati membunuh puluhan orang dan mencederakan lebih 140 yang lain di Lapangan Terbang Ataturk di sini, siri pengeboman terbaru yang melanda Turki dalam masa beberapa bulan, lewat kelmarin (waktu tempatan).

Pegawai Turki berkata, serangan itu kemungkinan besar perbuatan kumpulan pengganas Daish.

Perdana Menteri Turki Binali Yildirim berkata, 41 orang terbunuh, termasuk tiga penyerang berkenaan yang tiba di lapangan terbang itu dengan teksi dan meletupkan diri mereka selepas melepaskan tembakan.

Menteri Kehakiman, Bekir Bozdag berkata, 147 orang cedera.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu, angka kematian mungkin lebih tinggi, mencecah sehingga 50 orang.

Video yang dirakam kamera pengawasan dan dimuat naik ke media sosial menunjukkan saat satu letupan berlaku dan orang ramai melarikan diri dalam ketakukan. Satu lagi menunjukkan seorang penyerang yang jatuh selepas ditembak seorang pengawal keselamatan meletupkan dirinya beberapa saat kemudian.

Bercakap kepada wartawan di lapangan terbang, Binali berkata, siasatan awal menunjukkan Daish bertanggungjawab.

Seorang lagi pegawai Turki berkata, dua penyerang meletupkan bom di pintu masuk terminal ketibaan antarabangsa selepas polis menembak mereka sementara yang ketiga berbuat demikian di tempat letak kereta.

Turki berkongsi sempadan dengan Syria dan Iraq, dua negara yang menjadi tempat Daish menguasai beberapa wilayah.

Pihak berkuasa Turki menuduh Daish bertanggung jawab terhadap beberapa serangan bom sejak beberapa tahun lalu, termasuk di Ankara dan juga kawasan tumpuan pelancong di Istanbul.

Binari juga berkata, pihak berkuasa tidak dapat memastikan sama ada kemungkinan seorang penyerang berjaya melarikan diri.

Turki berdepan dengan beberapa ancaman keselamatan, termasuk dari kumpulan radikal berhaluan kiri, pemberontak Kurdis yang menuntut autonomi lebih besar di tenggara negara itu dan juga Daish.

Oktober tahun lalu, dua serangan bom serentak di luar stesen kereta api di Ankara menyebabkan 102 orang terbunuh.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi kerajaan mendakwa ia dilakukan kumpulan Daish tempatan.

Lapangan Terbang Ataturk adalah yang ke-11 paling sibuk di dunia tahun lalu dengan 61.8 juta penumpang, menurut Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 9:30 AM