ORANG ramai berkumpul dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa serangan bom di Brussels, semalam.
ORANG ramai berkumpul dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa serangan bom di Brussels, semalam.
Agensi

Brussels: Polis Belgium semalam melancarkan operasi terdesak memburu dua lelaki dipercayai terbabit dalam serangan bom oleh militan Daish di bandar ini.

Pihak berkuasa memburu seorang lelaki yang dikenal pasti di lokasi serangan bom di stesen kereta api metro dan suspek pengebom yang dirakam kamera keselamatan di lapangan terbang Brussels.

Pihak berkuasa keselamatan Eropah dikritik hebat selepas dua beradik yang meletupkan diri di lapangan terbang dan kereta api metro didapati dikenali oleh polis.

Seorang daripada mereka diusir dari Turki selepas didapati menjadi anggota militan.

Bendera di Brussels dikibar separuh tiang sebagai menghormati kematian 31 mangsa dari seluruh dunia yang maut dalam serangan Selasa lalu manakala doktor berusaha menyelamatkan berpuluh-puluh lagi yang cedera.

Dua beradik, Ibrahim dan Khalid El Bakraoui disahkan melancarkan serangan bom di lapangan terbang Zaventem dan stesen Maalbeek.

Pakar bom, Najim Laachraoui pula dikenal pasti sebagai pengebom kedua di Lapangan Terbang berkenaan.

Polis melancarkan operasi memburu besar-besaran bagi menangkap pengebom ketiga yang dirakam kamera keselamatan di lapangan terbang memakai jaket putih dan topi.

Bagasi yang penuh dengan bahan letupan yang dibawa suspek gagal meletup bersama dua pengebom berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki itu juga didapati mempunyai kaitan dengan siri serangan Daish di Paris November lalu yang menyebabkan 130 orang terbunuh.

Persoalan baru terhadap keselamatan di Eropah timbul apabila Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, Ankara menahan seorang penyerang Brussels itu tahun lalu dan mengusirnya ke Belanda.

Seorang pegawai Turki mengesahkan lelaki itu adalah Ibrahim El Bakraoui.

“Walaupun kami memberi amaran lelaki ini anggota militan, tetapi pihak berkuasa Belgium tidak dapat mengaitkannya dengan aktiviti pengganas,” kata Recep.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:11 AM