DR Tnah.
DR Tnah.
PENYELIDIKAN dijalankan di seluruh negara.
PENYELIDIKAN dijalankan di seluruh negara.
PATAWALI
PATAWALI
HEMPEDU bumi
HEMPEDU bumi
PECAH beling
PECAH beling
MATA pelanduk
MATA pelanduk
Nor Hanisah Kamaruzaman


Sejajar dengan peningkatan pasaran dan industri herba, masalah pencemaran produk itu makin

meningkat dari semasa ke semasa.

Pencemaran produk herba boleh berlaku disebabkan kesalahan pengeluar mengenal pasti spesies atau digantikan dengan herba murah atau ubat sintetik.

Ini menyebabkan formulasi produk menjadi kurang berkualiti, malah lebih teruk lagi membahayakan kesihatan pengguna.

Menyedari masalah ini, kumpulan penyelidik daripada Makmal Genetik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini sedang menyempurnakan kajian kod bar DNA yang memudahkan pengesahan spesies tumbuhan herba di negara ini.

Kumpulan penyelidik dianggotai Dr Lee Soon Leong, Dr Lee Chai Ting, Dr Kevin Ng Kit Siong, Dr Ng Chin Hong, Dr Ling Sui Kiong, Tan Ai Lee dan Nurul Farhanah Zakaria itu diketui Dr Tnah Lee Hong sudah memulakan penyelidikan sejak Januari tahun lalu.

Teknik kod bar DNA menawarkan alternatif mengesan pencemaran produk herba dengan mengesahkan kualiti produk melalui pengesahan spesies.

Dr Tnah berkata, teknik berkenaan berdasarkan penggunaan beberapa jujukan DNA yang pendek dalam genom tumbuhan yang mempunyai variasi secukupnya untuk membezakan satu spesies dengan yang lain.

“Setiap tumbuhan ada ciri dan DNA unik seperti cap jari manusia yang dapat membezakan setiap orang dengan yang lain.

“Dengan mengumpul data dan kod bar DNA daripada tumbuhan herba berkenaan, proses mengenal pasti kandungan herba dalam ubatan menjadi lebih mudah dan tepat.

“Ini bukan saja dapat membantu sesuatu produk memperkenalkan isi kandungannya, malah dapat membuat pengesahan jika ubatan itu mempunyai herba seperti dinyatakan,” katanya.

Katanya, kaedah pengesahan spesies tumbuhan herba sangat diperlukan di Malaysia.

“Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menggunakan sistem pengesanan pencemaran produk herba berasaskan kaedah kimia seperti penyaringan steroid, antihistamin, antidiabetik dan sebagainya.

“Pengesahan berdasarkan kod bar DNA bakal menjadi alternatif bagi melengkapi kaedah kimia sedia ada,” katanya.

Sehingga kini, 100 spesies tumbuhan herba sudah mendapat kod bar DNA dan disimpan dalam pangkalan data rujukan. Jumlah itu bakal bertambah sehingga tamat penyelidikan pada Disember tahun ini.

Antara spesies tumbuhan herba yang dikenal pasti ialah tongkat ali, mas cotek, hempedu bumi, mata pelanduk, belalai gajah, misai kucing, sirih, pecah beling dan patawali.

Hasil penyelidikan yang mendapat geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu bakal dipatenkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 11:43 AM