DR Rasadah menunjukkan produk yang diuji kaji FRIM dan dipasarkan.
DR Rasadah menunjukkan produk yang diuji kaji FRIM dan dipasarkan.
ANTARA hasil uji kaji yang dilakukan.
ANTARA hasil uji kaji yang dilakukan.
PENYELIDIK  FRIM, Dr Ling Sui Kiong  bersama Mohd Hafidz Hadi Abdullah mengasingkan komponen herba menguji herba dengan menggunakan kromatografi turus.
PENYELIDIK FRIM, Dr Ling Sui Kiong bersama Mohd Hafidz Hadi Abdullah mengasingkan komponen herba menguji herba dengan menggunakan kromatografi turus.
PEKERJA am FRIM, R Selvakumar menunjukkan pokok herba yang terdapat di Taman Ethnobotani.
PEKERJA am FRIM, R Selvakumar menunjukkan pokok herba yang terdapat di Taman Ethnobotani.
Oleh Mohamad Hussin


Isu lambakan produk minuman kesihatan berasaskan herba sering dipaparkan di media massa namun pengguna tidak peka mengenai kandungan dalam produk itu.

Lebih mengejutkan ada produk minuman itu didakwa mempunyai ekstrak seperti tongkat ali dan kacip fatimah sedangkan hakikatnya jumlahnya terlalu sedikit.

Penulis berpeluang menemu bual Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Dr Rasadah Mat Ali yang melakukan kajian terhadap 10 jenama kopi tongkat ali popular di pasaran.

“Jangan terkejut ada produk minuman kesihatan tidak mempunyai ekstrak dimaksudkan.

“Jika ada pun terlalu sedikit antara 0.25 hingga 1.6 peratus,” katanya.

Dr Rasadah berkata, pengecaman atau autentikasi terhadap tumbuhan adalah proses mengenal pasti kesahihan identiti herba itu adalah asli atau tulen.

“Penggunaan pelbagai nama tempatan bagi herba yang diusahakan boleh menyebabkan timbulnya kekeliruan kerana terdapat lebih daripada satu spesies tumbuhan yang mempunyai nama tempatan yang sama.

“Pokok tongkat ali adalah spesies Eurycoma longifolia tapi ada sesetengah masyarakat memanggilnya pokok pasak bumi, setunjang bumi atau pun tongkat ali,” katanya.

Beliau yang mempu­nyai pengalaman 26 tahun dalam bidang kajian herba berkata, herba dikenal pasti melalui ciri morfologi (makroskopi), anatomi (mikroskopi) atau melalui profil kimia.

“Penggunaan ciri morfologi adalah kaedah yang biasa digunakan ahli botani dalam menentukan spesies tumbuhan, namun kekangan mendapatkan sampel tumbuhan yang lengkap menyebab–kan kaedah ini kurang praktikal.

“Kaedah mikroskopi memerlukan sampel tumbuhan dianalisis pada peringkat sel bagi menentukan spesies yang tepat.

“Penyediaan spesimen herharium juga penting untuk rujukan pada masa akan datang seperti nama saintifik, tarikh kutipan dan lokasi tumbuhan itu dikutip,” katanya.

Dr Rasadah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Botani, Ijazah Sarjana bidang Fitokimia dari Universiti Malaya (UM) dan Doktor Falsafah (Fitokimia) di King’s College, University of London pada 1997, berkata, pembangunan dan penyelidikan (R&D) amat penting bagi memastikan keberkesanan kualiti dan keselamatan produk.

“Kepesatan dalam industri herba sudah menjadikan farmakopea atau monograf herba sebagai satu daripada rujukan dan panduan kepada pengusaha dalam menghasilkan produk herba yang berkualiti dan selamat.

“Monograf herba adalah himpunan serta dokumentasi lengkap sesuatu tumbuhan daripada nama saintifik yang dikenali sebagai deskripsi tumbuhan yang boleh diekstrak serta kandungan kimia,” katanya.

Menurutnya, bagi menjalankan perkhidmatan pengecaman tumbuhan herba ini, sampel yang dihantar perlu mengandu–ngi bahagian seperti daun (muda dan matang), bunga (kuntum dan mekar) serta buah (putik dan matang).

“Selain itu, gambar bagi keseluruhan tumbuhan juga diperlukan bagi membantu proses pengecaman. Akhir sekali, sampel yang dihantar mesti dalam keadaan yang segar atau tidak layu.

“Dalam konteks tumbuhan ubatan dan beraroma, pengecaman atau autentikasi ini adalah satu proses bagi menentukan jaminan kualiti daripada bahan mentah sehingga ke peringkat produk.

“Justeru menjadi tanggungjawab dan penting bagi pengusaha mengambil tindakan dalam mengesahkan identiti tumbuhan herba yang akan digunakan dalam pembangunan produk masing-masing,” katanya.

Mengenai produk herba yang dihasilkan pengusaha tempatan, Dr Rasadah berkata, kebanyakan produk itu tidak melalui proses R&D.

Sesetengah pengusaha, katanya, hanya datang berjumpa untuk mendapatkan bantuan apabila gagal mendaftarkan produk dengan badan terbabit disebabkan kualiti produk yang tidak memenuhi prasyarat yang digariskan badan berkenaan.

“Satu lagi kelemahan produk herba tempatan ialah pembungkusan dan penjenamaan kerana tiada maklumat sepatutnya dipamerkan.

“Kami menasihatkan pengguna menggunakan produk herba yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dr Rasadah, berkata pengusaha boleh menghantar produk herba yang dihasilkan ke FRIM untuk penambahbaikan produk atau untuk me­nguji kualiti produk yang dihasilkan.

“Jika pengusaha berjumpa kita, insya-Allah tak ada masalah, kita boleh tolong mereka.

“Matlamat kami supaya produk usahawan tempatan dipasarkan dalam dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya menghasilkan 17 produk iaitu 11 dalam bentuk ekstrak piawai ‘standardised extract’ termasuk ‘garcinia mangostana’ (manggis), ‘garcinia atroviridis’ (asam gelugor) dan ‘piper sarmentosium’ (kadok).

Katanya, FRIM juga menanam spesies tumbuhan yang dikaji di Taman Ethnobotanicnya untuk tujuan penyelidikan dan pemuliharaan. Terdapat lebih 200 tumbuhan ubatan di taman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 1:52 PM