MEK Som Mat Diah, 88, (kiri) ditemani oleh sepupunya Mek Nab Awang Ngah, setelah selesai pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. FOTO Faris Zainuldin
MEK Som Mat Diah, 88, (kiri) ditemani oleh sepupunya Mek Nab Awang Ngah, setelah selesai pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. FOTO Faris Zainuldin
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Warga emas, Mek Som Mat Diah, 89, yang putus pergelangan kaki kirinya akibat dalam kejadian samun Ahad lalu di rumahnya di Kampung Tanjong Rendang, Lemal, Pasir Mas, selamat menjalani pembedahan membuang sebahagian kakinya malam tadi.

Cucu saudaranya, Mustafa Yusof, 50, mengesahkan perkara itu selepas melawat warga emas itu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.

Katanya, kaki kiri neneknya itu dipotong sehingga paras betis bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

"Sebaik tiba di wad, saya diberitahu oleh nenek bahawa kakinya sudah dipotong sehingga paras betis pada jam 9 malam tadi.

"Kami menerimanya dengan hati terbuka walaupun sebelum ini kami bercadang untuk tidak meneruskan pembedahan kerana bimbangkan kesihatannya, namun mungkin ada ahli keluarga lain yang berikan kebenaran kepada hospital.

"Doktor lebih arif dengan perkara ini dan kami terima asalkan nenek sihat dan dapat jalani kehidupannya seperti biasa ," katanya ketika ditemui di wad ortopedik HUSM di sini, hari ini.

Terdahulu, Mek Som menerima kunjungan daripada Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kelantan Wan Abd Rahim Wan Daud dan juga Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali.

Abd Rahim berkata, pihaknya sedia menghulurkan bantuan kaki palsu dan kerusi roda kepada Mek Som selepas dia pulih sepenuhnya.

"Kita prihatin terhadap apa yang berlaku dan ia merupakan tanggungjawab sosial korporat SSM untuk golongan yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 3:09 PM