Datin Seri Norliza Mahmud menyuapkan kek hari jadi kepada suaminya di kediaman mereka malam tadi. FOTO Zaid Salim
Datin Seri Norliza Mahmud menyuapkan kek hari jadi kepada suaminya di kediaman mereka malam tadi. FOTO Zaid Salim
Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim


BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kini aktif dalam beberapa aktiviti pertanian antaranya membabitkan penanaman pokok durian jenis Musang King dan penternakan lebah kelulut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, baru-baru ini beliau menanam 50 pokok durian Musang King di kebun miliknya dan setakat ini sudah mempunyai kira-kira 400 sarang kelulut.

“Saya mempunyai tanah kebun seluas lapan ekar (3.2 hektar) tinggalan arwah bapa dan sebelum ini pun sudah ada pokok durian, cuma baru-baru ini saya tambah 50 pokok Musang King.

“Kelulut pula saya ada 400 sarang yang mampu menghasilkan sehingga 100 liter madu sebulan,” katanya ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-62 di kediamannya di Telok Kalong, Chukai malam tadi.

Ahmad berkata, beliau tidak bercadang menjual durian yang ditanam sebaliknya memberi sedekah kepada kenalan.

“Madu kelulut pula saya jual kecil-kecilan menerusi jenama DSAS Kelulut pada harga antara RM90 hingga RM300 sebotol.

“Saya bukan nak berniaga sangat, tetapi nak tunjuk kepada masyarakat bahawa perniagaan madu kelulut ini mampu menjana pendapatan lumayan.

“Bagaimanapun baru-baru ini 12 sarang dicuri tetapi pencuri itu sudah ditangkap polis dan khabarnya dia memang sering keluar masuk penjara.

“Dua kali dia mencuri sarang kelulut saya, mula-mula ambil enam sarang dan tak lama selepas itu dia ambil lagi enam sarang.

“Modal untuk 12 sarang itu saja RM6,600 tetapi ketika dicuri, sudah terkumpul madu penuh dalam sarang menyebabkan saya mengalami kerugian kira-kira RM10,000,” katanya.

Menurutnya, beliau mula bergiat aktif dalam aktiviti pertanian selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan negeri lima tahun lalu.

“Pertanian adalah cara untuk berehat, mencari rakan baru dan menyihatkan.

“Bagaimanapun selepas ini mungkin saya terpaksa mengurangkan aktiviti ini bagi menumpukan tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu apatah lagi sekarang kita bukan lagi berada dalam kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 7:12 PM