KETENGAH ukiran kayu bermotif flora khususnya kangkung, kacang, bayam dan bunga-bungaan.
KETENGAH ukiran kayu bermotif flora khususnya kangkung, kacang, bayam dan bunga-bungaan.
Hartini Mohd Nawi


Menzahirkan suasana taman yang sarat dengan elemen warisan Melayu bukan satu tugas mudah.

Ia menuntut pelbagai pendekatan dan penelitian, apatah lagi gaya hidup masa kini yang jauh berbeza.

Namun, anda yang mencintai dunia landskap warisan Melayu dan masih menginginkan persekitaran semula jadi bagaikan berada di sebuah desa, tentunya berusaha sedaya untuk menzahirkan panorama itu.

Perkembangan dunia landskap hari ini juga meletakkan aspek kreativiti dan kepekaan sebagai antara pendekatan dalam mencipta taman termasuk konsep berunsurkan warisan Melayu.

Kreativiti yang ada pada setiap pemilik atau penghuni juga membuatkan taman ada kalanya menyerlah dalam suasana neo Nusantara. Kedua-dua konsep dilihat hampir sama pendekatannya.

Malah, keindahan nilai estetika dalam landskap warisan Melayu meletakkan seni ukiran kayu begitu dekat dengan masyarakat Melayu. Ia khususnya dalam menampilkan nilai estetika itu berasaskan kayu berkualiti termasuk keruing dan nyatoh.

Kayu itu biasanya sarat dengan warna semula jadi, lebih gelap dan kemerah-merahan.

Pada asalnya reka bentuk landskap warisan Melayu atau tradisional banyak mengetengahkan ukiran kayu bermotifkan flora khususnya kangkung, kacang, bayam dan bunga-bungaan.

Bukan sekadar ukiran bermotif, seni berasaskan kayu turut menjadi pilihan dalam perincian landskap kejur yang sekali gus menyerlahkan imej landskap itu sendiri.

Landskap lembut membabitkan penggunaan elemen semula jadi seperti tanaman dan air.

Sementara landskap kejur pula memperlihatkan susun letak elemen buatan manusia seperti simenfero, wakaf, gazebo atau pergola dan kaca.

Menyentuh mengenai binaan pergola, gazebo atau wakaf, elemen itu banyak berkait rapat dengan alam sekitar selain turut diukir apabila berada dalam konsep warisan Melayu.

Dalam menyerlahkan suasana semula jadi atau tradisional Melayu pada taman, reka bentuk pagar kayu gaya ringkas hakikatnya tidak kurang menarik biarpun pada keluasan terhad.

Bagaimanapun, jenis kayu yang digunakan turut mempengaruhi suasana dan tema landskap anda.

Pada masa sama, keindahan panorama semula jadi itu tidak lengkap jika beberapa elemen penting lain yang perlu ada pada setiap konsep taman tidak diambil kira.

Keindahan taman semula jadi memberikan aura tersendiri apabila berupaya merangsang lima deria iaitu rasa, bau, sentuh, lihat dan dengar.

Bunyi-bunyian pancuran air kolam mempunyai kuasa paling kuat kerana mampu merangsang pendengaran dan memberi ketenangan jiwa kepada anda seisi keluarga.

Ia penting sebagai pendi­ngin aktif dalam menyederhanakan kawasan persekitaran dan mengilhamkan kedamaian semula jadi.

Ditambah dengan haruman segar daripada bunga-bu­ngaan termasuk melur dan cempaka sudah tentu mengembalikan suasana desa.

Tidak kurang juga haruman herba dan pokok termasuk serai, pandan, halia, cekur, lengkuas, pokok kari, limau purut, kantan, selum dan pegaga.

Tanaman ini juga sesuai ditanam sebagai bahan masakan atau digunakan dalam rawatan tradisional.

Hiasan atau aksesori taman termasuk tempayan, perigi, sangkar ayam atau burung dan pelita antara sebahagian elemen yang semestinya melengkapkan acuan warisan Melayu.

Terima kasih:

Katsura Garden Centre

Lot 18, Kawasan Landskap & Nursery Rezad,

Jabatan Hutan Damansara,

Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:01 AM