Oleh Hartini Mohd Nawi


Apabila memperkatakan mengenai seni pertukangan kayu, nama Oriental Allure Design & Marketing antara yang menarik perhatian.

Produk taman termasuk wakaf atau gazebo dan pergola dihasilkan me-ngikut cara sendiri, selain disesuaikan dengan permintaan pelanggan.

Pengusahanya, KC Chan, 52, berkata, elemen landskap kejur itu wajib ada di taman kerana fungsinya kini bukan sekadar tempat berehat dan bersantai semata-mata.

"Keunikan perabot taman ini adalah pelbagai, dari sudut seni bina, motif, pemilihan material hingga kekemasan dalam penghasilannya.

"Sambil kita bersantai dengan keadaan selesa, persekitaran tenang di taman dapat dinikmati sepenuh-nya," kata anak kelahiran Melaka itu yang membuka syarikat berkenaan pada 1999.

Disebabkan minat mendalam untuk menghasilkan kelainan pada produk seni taman, Chan sentiasa berbincang dengan pelanggan.

Idea seterusnya digabungkan untuk melihat sejauh mana kesesuaiannya dengan persekitaran kediaman.

Kepelbagaian cita rasa dan konsep taman turut membuatkan produk dihasilkan benar-benar menarik.

"Ciri tradisional dan moden dihasilkan dalam memberikan pilihan dan keselesaan di taman tanpa mengira waktu.

"Perkara paling utama apabila setiap binaan produk itu praktikal dan tidak mengganggu pergerakan di taman," katanya.

Malah, aspek ketahanan material turut diberi perhatian iaitu menerusi penggunaan kayu berkualiti dan tahan lasak termasuk cengal dan balau.

Kebanyakan material diperoleh dari Terengganu dan sekitar Johor.

Binaan model rumah tradisional

Dalam mengetengahkan idea dan kerja seni pertukangan kayu itu, Chan memberi kepercayaan penuh kepada pengurusnya, Adnan Awang Ahmad.

Kepakaran dimiliki Adnan banyak membantu Oriental Allure Design & Marketing lebih dikenali ramai dan tampil dengan identiti tersendiri.

Dalam melengkapkan kepelbagaian itu, binaan model rumah tradisional yang terletak di bahagian depan ruang pameran syarikat berkenaan menarik perhatian.

Dibina menyamai kediaman tradisional sebenar, ia bagi mendekatkan pelanggan dengan hasil seni pertukangan syarikat berkenaan.

"Sekurang-kurangnya pelanggan yang mengimpikan binaan rumah tradisional mendapat gambaran lebih jelas.

"Setiap inci binaan ini bertujuan berkongsi dengan sesiapa saja yang mencintai seni atau warisan tradisional," katanya.

Penataan landskap yang didominasi bunga matahari pada pekarangan laman kediaman itu menambahkan panorama semula jadinya.

Lebih mengujakan sebaik melangkah ke anak tangga, susun letak tempayan berisi air bagaikan penyambut tetamu.

Melangkah ke ruang anjung dan bahagian dalaman kediaman itu, suasana desa dapat dinikmati sepenuhnya.

Berminat sila kunjungi ruang pameran Oriental Allure Design & Marketing yang terletak di No 1, Jalan Penaga 1, Taman Perindustrian Kota Putri, Masai, Johor atau layari laman web: www.oadpro.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:00 AM