ANTARA landskap indah yang mewarnai kediaman ini.
ANTARA landskap indah yang mewarnai kediaman ini.
BUAIAN kayu jadi tempat bersantai.
BUAIAN kayu jadi tempat bersantai.
PINTU ukiran Bali tidak kurang tarikannya.
PINTU ukiran Bali tidak kurang tarikannya.
PROF DR NORIAH mengagumi kesenian ukiran kayu.
PROF DR NORIAH mengagumi kesenian ukiran kayu.

Konsep landskap hijau yang mewarnai persekitaran laman kediaman ilmuan mempunyai kesinambungan dalam kehalusan seni kayu.

Paling jelas susun letak beberapa elemen landskap kejur terutama dua wakaf dan buaian kayu.

Menurut Prof Dr Noriah, penggunaan kayu masih mendominasi setiap ruang taman antara usaha mempertahankan keunikan seni elemen berkenaan.

Pagar kayu ringkas, tetapi unik menjadi pengenalan utama buat sesiapa saja yang bertandang ke kediaman ini.

Sudah lazimnya pintu Bali berukiran unik yang menjadi pintu masuk kedua berperanan menghargai kunjungan tetamu atau sanak saudara.

Pada landskap menarik di bahagian pintu itu tidak dibiarkan kosong sebaliknya dihiasi dengan beberapa pasu dan tanaman hijau lain.

Kedudukan wakaf kecil pula melengkapkan pemandangan indah apatah lagi beberapa tanaman berbunga dan hijau kelihatan tumbuh subur.

“Apabila inginkan konsep hijau semula jadi dalam suasana Bali dan Jawa, kayu menjadi elemen landskap paling penting kerana melaluinya gambaran sebuah ketenangan dapat dizahirkan.

“Meraikan tetamu atau berkumpul bersama keluarga di wakaf pasti memberikan kenangan menarik sepanjang masa.

“Buaian pula tidak sekadar hiasan semata-mata kerana sebaik duduk dan diayun, suasana desa dapat dinikmati secara privasi,” katanya.

Di pekarangan berhampiran pintu masuk kediaman yang sarat ukiran Jawa Bali juga diserikan dengan penataan landskap sempurna.

Dinding luar kediaman pula diselitkan pelbagai ukiran indah dengan paparan nilai estetika tersendiri.

Memahami situasi ada tetamu dan sanak saudara yang ada kalanya ingin menatap keunikan ukiran itu, kerusi santai kayu disandarkan pada dinding.

Melewati bahagian belakang rumah, ternyata kehadiran wakaf sederhana besar di taman bahagian belakang menjadi ruang paling privasi.

Di ruang itu, perabot ringkas di susun letak supaya tidak mengganggu kelancaran diskusi santai sebaik berada di situ.

“Ketenangan yang dicari ada di sini. Sambil bersantai, mata pasti mencuri pandang pelbagai tananam bunga teratai, kemboja, cempaka dan melur.

“Landskap yang saya anggap matang, tetapi ‘biasa-biasa’ ini lebih berseri kerana elemen kayu ada di dalamnya.

“Kehijauan alam dan manusia pula tidak dapat dipisahkan dan saling memerlukan. Jadi, ruang yang ada ini saya gunakan sepenuhnya untuk santapan mata dan minda,” katanya.

Pada masa sama, ilmuan hebat ini begitu menitik beratkan aspek kebersihan dan suasana selesa di taman.

Baginya taman perlu dijaga rapi kerana ia sebahagian perlambangan siapa pemilik atau penghuninya.

“Tidak ramai menjadikan ruang belakang rumah landskap terindah kerana sering kali ruang itu dijadikan tempat pembuangan sampah dan menyimpan barang terbuang.

“Sementara kos penyelenggaraan dan pengubah suaian taman yang ada membabitkan elemen kayu tidak pernah dihitung kerana bagi saya untuk kecantikan dan keindahan sebuah ketenangan memerlukan banyak pengorbanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:11 AM