RUANG ini antara tempat santai popular.
RUANG ini antara tempat santai popular.
Hartini Mohd Nawi


Pencinta dunia landskap dan seni kraftangan ini tidak pernah kalah dalam menampilkan idea baru di laman kediamannya.

Jika satu ketika dulu, landskap diketengahkan membawa tema neotradisional dengan menjadikan pokok dan aksesori hiasan bercorak heliconia atau bu­nga sepit udang sebagai latar utama, kali ini berbeza pula pendekatannya.

Masih dalam gaya tradisional, namun wajah baru landskap di kediaman Rostam Affandi Abdul Rashid, 53, mempunyai aura privasi tersendiri.

Terletak di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, ia satu bonus apabila jauh dari kesibukan kota.

Setiap ruang taman pula dilihat cuba menggabungkan kehidupan manusia dengan alam semula jadi.

Kesibukan pengusaha kraf ini yang tidak menang tangan menerima tempahan menghasilkan rumah burung juga memberi peluang kepadanya mewujudkan landskap menarik.

“Ia sebagai gambaran lebih jelas kepada tetamu atau pelanggan yang meminati kraf rumah burung.

“Di taman ini saya ‘mengolah’ sebaik mungkin kreativiti susun letak rumah burung. Sama ada digantung pada wakaf, ranting pokok atau tunggul kayu yang tentunya mengilhamkan idea unik buat anda,” kata Rostam Affandi.

Dalam melengkapkan suasana tradisional di taman, elemen kayu antara landskap kejur (hiasan) yang paling utama.

Di satu sudut khas, kehadiran wakaf atau gazebo yang diserikan beberapa aksesori hiasan nyata membuatkan suasana istirahat dan santai lebih bermakna.

Menuju wakaf atau gazebo berseni bina Melayu itu laluan khas menggunakan kayu kereta api, pepohon hijau di kiri dan kanan lebih merealisasikan konsep laman hijau.

Ia antara antara tempat yang sering digunakan Rostam Affandi dan keluarga untuk bersantai sambil membaca majalah atau akhbar selain berbual dengan tetamu.

“Beberapa bulan sebelum Syawal lalu, landskap di taman ini diberi sentuhan baru untuk diselarikan dengan situasi semasa dan mengelak bosan.

“Tidak juga bermakna kami jemu dengan tema landskap sedia ada. Cuma diubah suai dan ditambah mana yang patut terutama dekoratif rumah burung ini,” katanya yang mendiami rumah itu sejak 2001.

Dari segi pilihan tanaman pula, semestinya pokok berdaun hijau menjadi pelengkap semula jadi di taman.

Elemen penyeri termasuk pasu, tempayan dan batu lesung antara hiasan bercirikan tradisional yang diletakkan pada ruang tertentu.

Biarpun segenap ruang ada peranan tersendiri, Rostam Affandi tidak pernah mengabaikan konsep keselesaan dan kekemasan laman supaya segala elemen yang diketengahkan sesuai dan tidak sarat kedudukannya.

Malah, keunikan pintu pagar kediaman yang sejak dulu berinspirasikan ukiran kayu begitu menonjolkan kehalusan dan ketelitian seni tradisional.

Semestinya idea sesuatu yang istimewa untuk segenap sudut taman berkenaan idea juga datang daripada isterinya, Rozinah Baharim, 51.

“Setiap keputusan menghias taman dengan pelbagai sentuhan menarik hingga kerja penyelenggaraan dilakukan bersama.

“Paling penting konsep keselesaan dan kehijauan alam terus dikekalkan. Biar segala ketenangan ada di sini,” Rostam Affandi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 6:32 AM