Kemalangan yang mengorbankan remaja berusia 16 tahun. FOTO ihsan pembaca
Kemalangan yang mengorbankan remaja berusia 16 tahun. FOTO ihsan pembaca
Amrullah Abdul Karim

Serendah: Remaja berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta yang membelok ke Kampung Damai Tambahan di persimpangan lampu isyarat Klinik Kesihatan Serendah (KKS) malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika mangsa, Mohamad Alif Ramlan menunggang motosikal Yamaha Lagenda bersendirian dari arah Rawang menghala ke pekan Serendah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, kejadian berlaku di Kilometer 34.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh ketika kereta jenis Perodua Bezza dipandu Lee Kong Yee, 24, membelok dari arah pekan Serendah ke kanan.

"Siasatan awal mendapati apabila sampai di lampu isyarat motosikal tidak berhenti dan langgar isyarat lampu merah lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta terbabit.

"Penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar terpelanting atas cermin hadapan kereta sebelum jatuh di jalan.

"Penunggang motosikal mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 10:51 AM