SPESIES burung yang ditemui.
SPESIES burung yang ditemui.
TEROPONG digunakan untuk melihat dan mengenal pasti spesies burung.
TEROPONG digunakan untuk melihat dan mengenal pasti spesies burung.
PELAJAR berusaha menjejak dan mengenal pasti spesies burung.
PELAJAR berusaha menjejak dan mengenal pasti spesies burung.
GAMBAR menarik yang dirakam peserta.
GAMBAR menarik yang dirakam peserta.
Suliati Asri


Kicauan sang burung yang bertenggek di atas pokok cukup mengasyikkan. Bagaikan sedang menyanyikan lagu merdu, ia kemudian terbang bebas di kawasan habitatnya.

Sesiapa saja pasti terpesona mendengar kicauan burung, apatah lagi fizikalnya pula cantik dan menarik dipandang.

Bagi ‘kaki burung’, siulan dan kicauan itu menjadi punca mereka sang–gup meredah hutan untuk mendekati unggas berkenaan.

Kelibat si burung pelbagai spesies dan memiliki bulu berwarna-warni menjadikan unggas itu sentiasa ‘diburu’ bukan saja dengan mata kasar tetapi pelbagai cara termasuk teropong dan lensa kamera.

‘Bersenjatakan’ kamera yang mempunyai lensa panjang, mereka cuba merakam gambar sebanyak mungkin, sekali gus menambah koleksi spesies burung yang pernah dilihat.

Tidak hairanlah aktiviti perlumbaan burung atau ‘bird race’ yang diadakan setiap tahun menjadi tarikan utama pencinta burung dari pelbagai peringkat umur dan negara.

Menjadi aktiviti perlumbaan burung yang juga pertandingan menjejak, mengenali dan menamakan spesies unggas yang terbang bebas, Program ‘Wings of KKB 2016: Selangor International Birds Race’ yang berlangsung baru-baru ini cukup mengujakan.

Penulis yang berpeluang melihat kelibat unggas di sekitar Kuala Kubu Bharu atas jemputan Tourism Malaysia cukup teruja, inikan pula peserta yang mengikuti program itu.

Mereka bukan saja me–ngejar kemenangan tetapi peluang untuk menyaksikan sendiri kecantikan setiap spesies burung.

Gelagat peserta terutama pelajar sekolah yang meloncat keriangan sebaik berjaya melihat burung ‘diburu’ jelas menunjukkan betapa seronoknya mereka.

Menariknya, spesies burung yang dilihat di setiap ‘check point’ berbeza di setiap bentuk bumi dan lokasi.

Memasuki tahun kelima penganjurannya sejak bermula pada tahun 2012, Wings Of KKB 2016: Selangor International Birds Race acara tahunan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) manakala Resort World Genting sekali lagi menjadi penaja utama bagi tahun keempat.

Bermatlamat memupuk kesedaran orang ramai terutama pelajar sekolah me–ngenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti memerhati burung, program ini secara tidak langsung meletakkan Kuala Kubu Bharu, Genting Highlands serta daerah Hulu Selangor di peta pelancongan Malaysia selaras keistimewaan daerah itu dari segi keindahan flora dan fauna.

Kelebihan ekosistem hutan hujan di Kuala Kubu Bharu menjadikan kawasan berkenaan habitat pelbagai spesies burung. Dari kawasan tanah rendah hingga ke tanah tinggi di Genting Highlands, pelbagai jenis burung dapat dilihat peserta sepanjang program dua hari itu.

Wings of KKB’ mengekalkan pertandingan mengenal burung kategori sekolah di sekitar Kuala Kubu Bharu yang memerlukan peserta mengelilingi beberapa ‘check point’ di bandar itu.

Bagi kategori terbuka dan dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) pula, peserta perlu melalui 10 ‘check point’ ditetapkan bermula dengan lima di bandar Kuala Kubu Bharu, Taman Milenium, Kolam Air Panas Hulu Tamu, Hutan Lipur Pelajaran Sungai Kedondong sebelum berakhir di Awana Hotel Genting Highlands.

Secara tidak langsung, ia menjadikan [Wings Of KKB’ pertandingan memerhati burung pertama di Malaysia memerlukan peserta bergerak dari satu altitud ke altitud lain.

Peserta berpeluang menemui pelbagai spesies burung berlainan mengikut perbezaan ketinggian.

Berdasarkan beberapa siri tinjauan pakar burung, antara burung yang menanti untuk diburu menggunakan teropong atau kamera yang mempunyai lensa khas ialah Enggang Kelingking (Oriental Pied Hornbill) di Kuala Kubu Bharu, Merbah Jambul (Black Crested Bulbul) di Taman Milenium, Tekukur Api (Little Cucko Dove) di Kolam Air Panas Hulu Tamu dan Layang-Layang Jambul Kecil (Whiskered Treeswift) di Hutan Lipur Pelajaran Sungai Kedondong.

Memasuki kawasan peranginan Genting pula, antara spesies burung yang ditemui ialah enggang papan (great hornbill), enggang badak (rhinoceros hornbill), burung takur api (fire-tufted barbet), burung kesumba gunung (red-headed trogon) dan pelbagai spesies burung tanah tinggi lain.

Suasana di Genting Highlands yang dingin dan persekitaran menghijau memberikan kedamaian kepada peserta.

Bagi menambahkan kemeriahan program, buat julung kalinya pertandingan melukis burung diadakan dengan kerjasama Persatuan Pelukis Perak.

Pertandingan dibahagi kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka.

Pertandingan itu menerima sambutan apabila sebanyak 71 lukisan bagi ketiga-tiga kategori diterima untuk diadili.

Aktiviti sampingan, [explorace’ juga menjadi tarikan dengan 35 penyertaan dari pelajar sekolah menengah dan 22 sekolah rendah.

Menariknya, pembabitan kanak-kanak istimewa dari Pusat Didikan Khas Daerah Hulu Selangor yang dibahagikan kepada enam kumpulan dapat memupuk kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:19 AM