Pegawai Penyelidik Hidupan Liar Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hutan sabah memasang sarang buatan Enggang Papan (Great Hornbill)  di kawasan dusun buah-buahan di Kampung Darat Batu Rakit Hulu di sini dalam usaha memelihara dan memulihara spesis berkenaan. Pemasangan sarang ini bagi menggantikan sarang burung berkenaan yang rosak selepas pokoknya tumbang yang merupakan projek perintis diA Semenanjung Malaysia. FOTO GHAZALI KORI
Pegawai Penyelidik Hidupan Liar Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hutan sabah memasang sarang buatan Enggang Papan (Great Hornbill) di kawasan dusun buah-buahan di Kampung Darat Batu Rakit Hulu di sini dalam usaha memelihara dan memulihara spesis berkenaan. Pemasangan sarang ini bagi menggantikan sarang burung berkenaan yang rosak selepas pokoknya tumbang yang merupakan projek perintis diA Semenanjung Malaysia. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Dua sarang buatan Enggang Papan (Great Hornbill) dipasang di kawasan dusun buah-buahan di Kampung Darat Batu Rakit Hulu di sini dalam usaha memelihara dan memulihara spesis berkenaan.

Pakar Penyelidik Burung Enggang Dr Ravinder Kaur berkata, pemasangan sarang buatan di pokok durian itu adalah yang pertama dilakukan di luar Sabah dengan Terengganu menjadi projek perintis di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, pemasangan sarang buatan itubagi menggantikan sarang burung berkenaan yang rosak selepas pokoknya tumbang.

"Pemilihan lokasi ini berdasarkan kajian dan penemuan spesis Enggang Papan di kawasan Batu Rakit di sini sejak 15 tahun lalu.

"Sebenarnya pelbagai spesis enggang ditemui di Terengganu terutama di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tetapi di kawasan ini, kita menemui Enggang Papan.

"Ini adalah projek rintis kita dan kita harap pemasangan ini dapat membantu memelihara spesis ini daripada pupus.

"Jika tidak diganti baharu, ada kemungkinan burung ini terutama spesis enggang yang besar seperti Enggang Papan, Enggang Terbang Mertua (Helmeted Hornbill) dan Enggang Badak (Rhinoceros Hornbill) akan pupus kerana tidak mempunyai sarang untuk membiak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang juga pensyarah di Sunway University berkata, pemasangan sarang buatan itu mula dilakukan sejak 2013 bermula di Kinabatangan, Sabah.

"Setakat ini, kita ada kira-kira 30 sarang buatan dan sebenarnya, kita merancang projek ini sejak 2019 tetapi ia tertangguh kerana pandemik Covid-19.

"Projek ini akan dijadikan projek rintis dan kita akan memasangnya di beberapa lokasi lain mengikut keperluan dan hasil kajian yang akan dilakukan kelak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Darat Batu Rakit Hulu Mohd Azame Abu Bakar melahirkan rasa bangga dan berbesar hati apabila kampung berkenaan dijadikan projek perintis di Semenanjung Malaysia.

"Kita berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan projek ini dan berharap pelaksanaan projek ini dapat membuatkan kampung ini dikenali masyarakat luar.

"Daripada segi pemasangan sarang buatan itu, kita sudah mendapatkan kebenaran pemilik kebun dan kita juga mengharapkan kerjasama penduduk untuk sama-sama menjayakan projek ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 5:00 PM