JOSHUA (tengah) ketika mengumumkan calon PKR di Kuching hari ini. FOTO Goh Pei Pei
JOSHUA (tengah) ketika mengumumkan calon PKR di Kuching hari ini. FOTO Goh Pei Pei
Mohd Roji Kawi


Kuching: PKR Sarawak memutuskan untuk bertanding hanya di 27 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN-12) berbanding 49 kerusi yang diumumkan sebelum ini.

Setiausaha PKR Sarawak, Joshua Jabeng berkata, keputusan itu diambil bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada kawasan yang berpotensi untuk dimenangi.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengelak pertindihan kerusi dengan DAP, khususnya Kemana, Pujut dan Piasau.

"Terdapat perubahan dalam strategi kami dengan memberi tumpuan kepada kerusi yang boleh kami menangi dan bukannya bertanding di banyak kerusi.

"Sebelum ini, kami akan meletakkan calon kami di seberapa banyak kerusi yang mungkin untuk mengelak daripada memberikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau BN Sarawak ketika itu kemenangan percuma," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Joshua mengesahkan beliau akan bertanding di kawasan Kakus manakala pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh akan bertanding di Beting Maro.

Sementara itu, Pengerusi PKR Bandar Kuching, Dominique Ng, menafikan pengurangan jumlah kerusi untuk ditandingi itu dibuat selepas adanya perjanjian dengan pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menurutnya, selain fokus kepada kerusi boleh menang dan mengelak pertembungan dengan DAP, pengurangan drastik kerusi yang akan ditandingi PKR itu juga disebabkan oleh sumber parti yang terhad.

"Kami harus realistik dalam jangkaan kami dan sumber kami yang terhad. Kami memohon maaf kepada kawasan di mana ahli kami bekerja di lapangan namun kami memutuskan untuk tidak bertanding kali ini," katanya.

Kerusi lain yang bakal ditandingi PKR ialah, Opar (Meneng Biris), Tupong (Ahmad Nazib Johari), Satok (Nor Dahlia Esapian Eyau), Batu Lintang (Chrishe Ng), Asajaya (Mahmud Epah), Serumbu (Michael Sawing) , Tarat (Christo Michael) dan Tebedu (Senior William Rade).

PKR turut meletakkan calon di Sadong Jaya (Piee Ling), Lingga (Abang Abdul Kasim Abang Bujang), Saribas (Patrick Kamis), Bukit Saban (Mikail Mathew Abdullah), Ngemah (Satu Anchom) , Machan (M Fazi @ Joseph Usit), Telian (Mohd Arwin Abdullah), Balingian (Abdul Jalil Bujang), Katibas (Munan Laja), Murum (Ani Amat), Bekenu (Norhafizah Johari), Lambir (Zolhaidah Suboh), Marudi ( Elias Lipi), Telang Usan (Philip Jau Ding), Mulu (Roland Engan), Batu Danau (Racha Balang) dan Ba'kelalan (Martin Samuel Labo).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:16 PM