SEBASTIAN Ting. FOTO BERNAMA
SEBASTIAN Ting. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Miri: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengakui persaingan sengit perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan bandar terutamanya membabitkan pengundi majoriti masyarakat Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata, antara kawasan bandar yang menjadi tumpuan dan penuh dengan cabaran ialah di Pujut, Senadin, Piasau, Batu Kawa, Kota Sentosa, Padungan, Batu Kitang, Pending dan Batu Lintang.

"Di seluruh Sarawak, semua kawasan yang pengundinya majoriti Cina dijangka menghadapi tentangan sengit dan mencabar termasuk kesemua 18 kerusi yang ditandingi oleh SUPP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sepakat@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan, di sini, hari ini.

Katanya, politik tidak boleh diramal, tetapi yang pasti kesemua calon dari SUPP akan terus menabur bakti selaras dengan objektif utama penubuhan parti itu sejak 1959 yang akan turun padang berkhidmat untuk rakyat.

"Kami semua sangat komited, bekerja keras dan tidak pernah mengalah kerana SUPP adalah parti yang berorientasikan perkhidmatan. Rakyat akan tentukan dan kita akan lihat berapa banyak sokongan yang kami terima," katanya.

Ketika ditanya mengenai Datuk Bandar Miri, Adam Yii yang menjadi calon baharu bertanding di Pujut, Sebastian berkata, beliau yakin dengan keupayaan Yii untuk merampas kembali kerusi terbabit daripada Dap yang memenanginya pada PRN Sarawak ke-11.

"Tentunya kami di SUPP gembira apabila Datuk Bandar Miri Adam Yii adalah calon di Dun Pujut. Kami perlu berjuang bersama-sama bagi membawa kejayaan untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS)," tambahnya.

Pada PRN11 kerusi Dun Pujut dimenangi Dr Ting Tiong Choon daripada Dap. Dr Ting kemudian dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada Mei 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia.

Pada PRN11, SUPP menang tujuh kawasan Dun iaitu Simanggang yang dimenangi Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Seri Huang Tiong Sii (Dun Repok), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Batu Kawah), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong), Sebastian (Piasau), serta Dun Senadin yang dimenangi oleh Datuk Seri Lee Kim Shin.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:25 PM