Nasharuddin MuhammadShamran SarahanRabi ‘Atul ‘Adawiyah IsmailYusmizal Dolah AlingMohd Rizal AbdullahEkhwan Haque Fazlul HaqueGarret DawumNurul Hidayah BahaudinMohd Aidil AbdullahHarun Yahya dan Khalid Latip dan Sandra Albertz


Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 dapat diketahui seawal jam 6.30 petang ini, manakala keputusan penuh sekitar jam 11 malam.

Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata, keputusan majoriti mudah iaitu 42 kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu diramalkan diketahui sekitar jam 10 malam.

“Bagaimanapun, ini semua jangkaan SPR saja, jika proses penjumlahan undi berjalan lancar seperti dijadualkan. Kita juga menasihatkan semua pihak yang terbabit dalam PRN kali ini mengawal emosi dan bertenang setiap masa.

“Paling penting, pengundi berdaftar perlu keluar beramai-ramai terutama pada waktu pagi kerana pada petang hari pengundian dijangka hujan di beberapa kawasan di negeri ini.

“Kita sasarkan 80 hingga 85 peratus pengundi keluar membuang undi dan faktor cuaca baik sangat menyumbang kepada peratusan keluar mengundi lebih tinggi,” katanya, di sini, semalam.

Beliau mengingatkan pengundi membawa kad pengenalan dan tidak menyerahkannya kepada mana-mana pihak tidak dikenali.

“Kad pengenalan wajib dikemukakan bagi membuktikan mereka warganegara serta dibenarkan mengundi selain penting untuk semakan tempat mengundi,” katanya.

Seramai 1,138,650 pengundi berdaftar PRN ke-11 layak mengundi hari ini di 2,889 saluran membabitkan 80 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi, namun hanya 80 dipertandingkan selepas DUN Bukit Kota dan Bukit Sari dimenangi BN tanpa bertanding.

Barang Lungun, Long Dano dalam DUN Mulu dikenal pasti mempunyai jumlah pengundi paling sedikit iaitu 25 pengundi, manakala Long Lamai dalam DUN Murum menjadi pusat pengundian paling jauh membabitkan 12 jam perjalanan dari Baram (kawasan pedalaman di Miri) yang mempunyai 177 pengundi.

Barisan Nasional (BN) bertanding di 82 kerusi dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 40 kerusi, namun menang tanpa bertanding di dua DUN Bukit Kota dan Bukit Sari, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (13 kerusi), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (11 kerusi) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) (lima kerusi) manakala calon langsung BN bertanding di 13 kerusi.

Parti pembangkang diketuai PKR bertanding di 40 kerusi, DAP (31 kerusi), Parti Amanah Negara (Amanah) (13 kerusi), PAS (11 kerusi), Parti Reformasi Negeri (STAR) (11 kerusi) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (lima kerusi), manakala calon bebas bertanding 35 kerusi.

Pada PRN lalu, DUN Sarawak mempunyai 71 kerusi dengan BN Sarawak memenangi 55 kerusi, sekali gus menubuhkan kerajaan negeri manakala DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi ditandingi, bilangan terbesar pernah dimenangi dalam DUN Sarawak, PKR menang tiga kerusi manakala calon bebas menang satu kerusi di DUN Pelagus.

Daripada jumlah pengundi keseluruhan, 1,113,522 pengundi biasa, pengundi awal (25,022) dan pengundi pos (106).

Berdasarkan statistik SPR, 32 peratus atau 368,944 pengundi pada PRN kali ini mereka berusia bawah 40 tahun dan layak mengundi.

Sebanyak lima DUN membabitkan pertandingan lima penjuru iaitu Batu Kitang, Bukit Semuja, Dudong, Bawang Assan dan Jepak, empat penjuru (15), tiga penjuru (27) dan satu lawan satu membabitkan 35 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:56 AM
 Petugas SPR  membuat persiapan terakhir bagi hari pembuangan undi sempena PRN Sarawak ke-11 di Sekolah Kebangsaan Sibu Bandaran No 3, semalam.
Petugas SPR membuat persiapan terakhir bagi hari pembuangan undi sempena PRN Sarawak ke-11 di Sekolah Kebangsaan Sibu Bandaran No 3, semalam.