VIDEO sempena kempen #Dedicated2Cikgu bertajuk ‘Role Reversal’ sudah mencecah lebih 600,000 tontonan.
VIDEO sempena kempen #Dedicated2Cikgu bertajuk ‘Role Reversal’ sudah mencecah lebih 600,000 tontonan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Hari Guru waktu terbaik bagi menghargai jasa serta pengorbanan golongan pendidik kerana mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu kepada pelajar, malah memberi impak besar dalam kehidupan seharian.

Bagi menghargai jasa guru, INTI International University and Colleges (INTI) memperkenalkan kempen #Dedicated2Cikgu bertujuan memberi nafas baru dalam meraikan golongan pendidik.

Kempen #Dedicated2Cikgu yang membabitkan empat juta pelajar dan 200,000 guru di seluruh negara sepanjang empat tahun itu dirangka bagi menyediakan platform khusus untuk pelajar dan guru menzahirkan semangat Hari Guru.

Memasuki tahun kelima kempen itu turut mengambil pendekatan luar biasa dan kreatif dengan mengajak pelajar meraikan guru dengan memberi markah dalam Kad Laporan Kegembiraan.

Peraduan Kad Laporan Kegembiraan yang terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara membenarkan pelajar memberi markah kepada guru mengikut gred seperti A, B, C, D, E dan F.

Lebih menarik, gred itu bukan penilaian markah seperti kebiasaannya kerana setiap satunya mewakili ciri positif seperti Awesome, Brilliant, Cool, Delightful, Excellent atau Fantastic.

Naib Presiden Kanan Pemasaran Korporat Produk dan Kerjasama INTI Timothy Johnson berkata, kerjaya sebagai pendidik bukan saja mulia, malah membahagiakan kerana kejayaan pelajar adalah kejayaan guru juga.

Pelajar boleh menghantar mesej dedikasi kepada guru dan berpeluang memenangi hadiah untuk diri sendiri dan guru yang menerima ucapan itu.

Selain itu, video istimewa bersempena Kad Laporan Kegembiraan bertajuk ‘Role Reversal’ berdurasi dua setengah minit memaparkan pelajar memberi markah kepada guru pada Hari Kad Laporan turut dihasilkan sempena kempen tahun ini.

Video yang ditayangkan di laman Facebook INTI sejak 11 April lalu menjadi viral apabila ditonton lebih 629,825 kali dan mendapat 26,189 ‘like’ serta dikongsi 6,285 pengguna.

Peraduan berakhir 11 Mei 2016 dan sebarang maklumat lanjut mengenai kempen #Dedicated2Cikgu dan peraduan Kad Laporan Kegembiraan boleh lawati www.newinti.edu.my/dedicated2cikgu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:00 AM