PEMAIN  MU   Puaneswaran (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur  Muhammad Naufal.
PEMAIN MU Puaneswaran (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur Muhammad Naufal.

Melaka: Melaka United (MU) kekal menerajui Liga Perdana selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Penyerang City Boys, Anselmo Arruda Da Silva mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan gol pertama ketika perlawanan berusia seminit selepas menerima hantaran Rashid Aya.

Bagaimanapun jaringan itu bukan penamat buat MU yang sebaliknya terus melakukan percubaan menerusi Labinot Harbuzi pada m-7 dan Nurshamil Abd Ghani m-22 tetapi gagal mencari gol penyamaan.

Usaha anak buah Mat Zan Mat Aris akhirnya berhasil menerusi tandukan Ilja Spasojevic pada minit ke-28 selepas menerima hantaran Jasmir Mehat yang menggamatkan kira-kira 25,000 penyokong setia Melaka United.

Kesilapan pemain pertahanan Naufal Naim ketika membuat hantaran kepada penjaga gol Badrulzaman Abdul Halim disambut pantas Jasmir untuk menjaringkan gol pada minit ke-31 bagi membolehkan MU mendahului 2-1 pada babak pertama perlawanan.

Babak kedua menyaksikan MU terus mengasak hebat tetapi percubaan Balsa Bozovic m-56 dan Nurshamil seminit selepas itu gagal menambah jaringan buat pasukannya.

City Boys turut memiliki peluang untuk mengikat kedudukan tetapi rembatan Da Silva tinggi melepasi palang gol selain tandukannya pada m-70 turut tersasar.

Kemenangan itu cukup membuatkan MU selesa di persada liga sekali gus membalas dendam kekalahan mereka di Selayang pada aksi pusingan kedua Piala FA Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 6:02 AM