Brendan (dua kiri) meraikan jaringan gol pertama Perak bersama rakan sepasukan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Brendan (dua kiri) meraikan jaringan gol pertama Perak bersama rakan sepasukan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Shamsul Kamal Amarudin


PERAK mencatat kemenangan selesa apabila menumpaskan PKNP FC dengan jaringan 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, malam ini.

Ini adalah kemenangan kedua penyandang juara Piala Malaysia itu daripada 11 perlawanan liga berkenaan musim ini yang sebelum ini memperolehi keputusan tujuh seri dan dua kekalahan.

Gol pertama Perak dihasilkan menerusi sepakan Brendan Gan m-14 selepas menerima hantaran Mohd Nor Hakim Hassan dari sebelah kiri.

Jaringan kedua Perak diperolehi menerusi rembatan Gilmar da Silva m-30.

Gol terhasil apabila pemain pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola depan gawang selepas percubaan Brendan Gan ditepis Ahmad Asraaf Omar.

Pasukan pelawat terus menambah derita PKNP m-56 menerusi jaringan Shahrul Saad, mudah menolak masuk selepas keadaan kelam kabut di depan gawang ketika menerima sepakan sudut Wander Luiz.

Gilmar da Silva menambah jaringan Perak selepas menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian Muhammad Firdaus Saiyadi dari sebelah kanan m-90.

PKNP berpeluang mendahului perlawanan menerusi Giancarlo Lopez tetapi rembatannya di sudut kanan gawang m-9 ditepis Muhammad Hafizul Hakim.

Gilmar da Silva berpeluang menambah gol peribadi pada minit ke-86 tetapi sepakan penalti diambilnya melepasi palang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:13 PM