KETUA Menteri Uttarakhand,  Harish Rawat (dua dari kanan) memberi penghormatan terakhir kepada Shaktiman.
KETUA Menteri Uttarakhand, Harish Rawat (dua dari kanan) memberi penghormatan terakhir kepada Shaktiman.
AFP

Dehradun (India): Seekor kuda polis dikebumikan dengan penghormatan penuh seperti anggota biasa selepas mati akibat kecederaan diterima dalam serangan oleh seorang anggota politik India.

Kuda dinamakan Shaktiman itu mencetuskan debat selama beberapa minggu antara pelbagai parti politik di India selepas kaki belakangnya yang cedera mengalami gangren sehingga terpaksa dipotong.

Ganesh Joshi, dari parti pemerintah, Bharatiya Janata (BJP) ditahan untuk tempoh singkat bulan lalu atas tuduhan kekejaman terhadap kuda itu yang cedera dalam protes diadakan di Uttarakhand, utara India.

Shaktiman dipakaikan kaki palsu yang diperoleh dari Amerika Syarikat dan setiap butiran rawatan serta pemulihan haiwan itu dilaporkan meluas media India.

Malangnya, polis Uttarakhand kelmarin mengumumkan Shaktiman mengalami kejutan dan mati selepas diberi bius untuk merawat jangkitan kuman lain.

Superintendan Kanan, Sadanand Datte berkata: “Doktor memberi bius kerana mahu merawat jangkitan lain tetapi Shaktiman tidak dapat menahannya.”

Berita kematian Shaktiman itu mencetuskan kemarahan aktivis hak asasi haiwan yang menggesa pihak bertanggungjawab dipenjara kerana ‘membunuh anggota polis.’ - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 7:06 AM