JBPM berjaya memadamkan 156.6 hektar daripada 173 hektar hektar kawasan tanah gambut dan pertanian di Bachok.FOTO Ihsan JBPM BBP Bachok
JBPM berjaya memadamkan 156.6 hektar daripada 173 hektar hektar kawasan tanah gambut dan pertanian di Bachok.FOTO Ihsan JBPM BBP Bachok
Nor Amalina Alias

Bachok: Seluas 156.6 hektar hutan gelam, kebun sawit dan kebun getah di Kampung Kual, Beris Lalang di sini, sudah berjaya dipadamkan.

Jumlah itu adalah daripada 173 hektar keseluruhan kawasan kebakaran yang melanda daerah itu.

Operasi memadam itu dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Bachok bersama agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba Tentera Darat (TD), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak Majlis Daerah Bachok-Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pemadaman berjaya dilaksanakan selepas 14 hari operasi yang bermula sejak 29 April lalu sehingga hari ini.

Menurutnya, keanggotaan membabitkan 12 pegawai dan anggota BBP Bachok dan 21 anggota agensi lain.

"Baki kebakaran 16.4 hektar meliputi sektor C berbaki 4.3 hektar, Sektor D berbaki 4.2 hektar, Sektor E berbaki 4.3 hektar dan Sektor F berbaki 3.3 hektar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhuan berkata, operasi itu dilakukan adalah dengan menyalurkan sumber air daripada satu lokasi telaga tiub ke dalam sistem perparitan sedia ada di kawasan kebakaran.

"Anggota turut membuat 'fire break' dengan menambah cabang dan jejari parit serta memperdalamkan parit.

"Tindakan pemadaman secara 'direct attact' juga dibuat menggunakan empat buah pam mudah alih milik JBPM dan sebuah pam mudah alih milik Bomba TD," katanya.

Sejak April lalu, kawasan Bachok dilanda kebakaran akibat pembakaran hutan dan tanah pertanian sehingga menyebabkan jerebu teruk di beberapa kawasan seperti Beris Lalang dan Tangok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 3:56 PM